Thursday, March 21, 2013

Ayat-ayat Hukum dalam Surah An-Nur (ayat 2)



Bagaimanakah hukuman yang dikenakan keatas penzina pada zaman permulaan Islam?

Mereka dikenakan hukuman ringan yang bersifat sementara berdasarkan ayat Al-Quran dalam Surah An-Nisa’: 15-16 iaitu:

·Penzina wanita- dikurung di dalam rumah dan tidak dibenarkan keluar.
·Penzina lelaki- dicerca dengan kata-kata.


Ia dikategorikan sebagai hukuman ta’zir berdasarkan dalil yang menunjukkan ia adalah hukuman yang bersifat sementara.
Namun hukuman ini telah dihapuskan setelah turunnya ayat ke-2 dalam Surah An-Nur iaitu:
· Penzina lelaki dan wanita- disebat dengan 100 kali sebatan.
Ia dikategorikan sebagai hukuman hudud.

Adakah terdapat perbezaan hukuman bagi penzina yang sudah berkahwin dan penzina yang belum berkahwin?
Ya, terdapat perbezaan hukuman terhadap kedua-dua golongan ini.
·         Penzina yang belum berkahwin (bujang): disebat dengan 100 kali sebatan.
Ini berdasarkan dalil dari Surah An-Nur:2.
·         Penzina yang sudah berkahwin: direjam hingga mati.
Ini berdasarkan dalil dari kata-kata dan perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, begitu juga ijma’ para sahabat dan para tabi’in dengan riwayat yang sahih bahawa baginda sallahu ‘alaihi wasallam pernah menjatuhkan hukuman rejam terhadap beberapa orang sahabat seperti Alghamidiah dan Ma’iz.

Siapakah yang akan melaksanakan hukuman hudud?
Zahir ayat Al-Quran (فاجلدوا):pukullah, ditujukan kepada pemerintah kerana padanya terdapat maslahah untuk masyarakat.

Apakah ciri-ciri sebatan yang akan dikenakan kepada penzina dan bagaimanakah ia dilaksanakan?
Berdasarkan dalil (ولا تأخذكم بهما رأفة): Janganlah kamu berasa belas kasihan terhadap mereka, para ulama mengatakan bahawa tidak harus meringankan hukuman keatas penzina tersebut dengan:
·         menggugurkan hukuman secara mutlak atau
·         mengurangkan bilangan sebatan atau
·         memperlahankan sebatan.
Ini kerana hukuman yang dikenakan bukanlah bertujuan untuk menzalimi mereka sebaliknya untuk mendidik.

Imam Al-Qurtubi menjelaskan antara ciri-ciri sebatan yang akan dikenakan kepada penzina iaitu:
·     Orang yang memukul tidaklah mengangkat tangannya sehingga terlihat ketiaknya ketika memukul.
·         Pukulan itu tidak mengakibatkan isi daging pesalah terkeluar.
·  Pukulan bukanlah sehingga menyebabkan kematian pesalah, sebaliknya ia bertujuan untuk mendidik mereka dan memberi mereka peluang untuk bertaubat.

Apakah cara untuk mensabitkan kesalahan zina?
Terdapat dua kaedah:
·         Terdapat 4 orang saksi yang menyaksikan perbuatan zina itu tanpa ada keraguan.
·         Penzina itu sendiri mengaku bahawa dia telah berzina.

Kaedah pertama: Penyaksian 4 orang saksi
Syarat-syarat saksi ialah:
1)     Penyaksian hendaklah dilakukan oleh 4 orang saksi.
2)     Saksi lelaki.
3)     Saksi terdiri dari kalangan mereka yang dipercayai.
4)     Muslim, berakal dan baligh.
5)     Keempat-empat saksi melihat dengan jelas perbuatan zina itu iaitu apabila kemaluan lelaki memasuki kemaluan perempuan.
6)      Keempat-empat saksi membuat perakuan serentak terhadap persaksian mereka.
* Ini menjelaskan bahawa pertuduhan zina bukanlah suatu perkara yang mudah untuk ditetapkan. Jika syarat-syarat untuk mensabitkan pertuduhan zina keatas seseorang begitu ketat, maka begitu jugalah sukarnya untuk menjatuhkan hukuman hudud keatas penzina kerana hukuman hudud dengan sendirinya akan terbatal jika ada keraguan.
Begitu indahnya Islam memelihara maruah diri setiap umatnya, seboleh-bolehnya mahu dielakkan dari dikenakan hukuman hudud. Selama ini kita telah tersalah tafsir dengan hukum Allah, kita bersangka buruk dengan Allah sedangkan Allah Maha Mengetahui kelemahan hamba-hambanya, Allah Maha Penyayang, Allah Maha Pengampun, Allah Maha Mendengar rintihan hambanya yang menangis penuh penyesalan mengharapkan ampunanNya, Allah Maha Penerima Taubat..kembalilah ke jalanNya, jangan berputus asa menagih kasih sayangNya.

Sumber: Kitab Rawai’ al-Bayan oleh Muhammad Ali As-Sobuni.



No comments: