Ada
beberapa buah buku yang disebarkan dengan agak meluas dalam masyarakat
memuatkan kisah Sayyidina Umar r.a kononnya telah membunuh seorang anak
perempuan dengan menanamnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat
Dijamin Ahli Syurga oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional
Pte. Ltd (1984), ms. 50-51. Terdapat juga dua artikel yang disiarkan di
dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk
kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998), dan satu
lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM
(Harakah, 30 Nov. 1998). Kedua-duanya memuatkan cerita yang sama dengan
sedikit perbezaan ibaratnya.
Jika
cerita yang seperti itu disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak
ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan imej
Sayyidina Umar r.a sebagai sahabat karib Rasulullah (s.a.w) dan khalifah
agung umat Islam.
Cerita
yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah,
pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka
menyebarkannya. Pertama, kerana jahil dan kedua adalah kerana menganggap
kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a berada di zaman jahiliah.