﴿قُلْ
لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ
أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30)
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ
مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ
إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا
يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ
بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ
إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ
نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي
الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى
عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ
مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ
تُفْلِحُونَ(31)﴾
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang
beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara
kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya
Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". (30)
Dan katakanlah kepada wanita yang
beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya (daripada memandang yang
haram), dan memelihara kemaluannya (memelihara kehormatan dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang
perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan
janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah,
wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (31)
Sebab
Turunnya Ayat
1) Ibnu Mardawaih meriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a.
bahawasanya dia berkata: “Seorang lelaki pada zaman Rasulullah sallallahu
‘alaihi wasallam berjalan di salah satu jalan dari jalan-jalan kota Madinah.
Dia memandang kepada seorang wanita dan wanita itu memandang pula kepadanya.
Maka syaitan membisikkan kepada keduanya bahawa yang satu tidak memandang yang
lain melainkan kerana yang satu mengagumi yang lain. Ketika lelaki itu sedang
berjalan di samping sebuah dinding sambil terus memandang kepada wanita itu,
tiba-tiba wajahnya terhantuk pada dinding itu sehingga hidungnya terluka. Dia
berkata: “Demi Allah, aku tidak akan membersihkan darah (yang mengalir keluar
dari luka hidung) ini sebelum aku datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alahi
wasallam dan memberitahu baginda tentang masalahku”. Dia datang kepada
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kisahnya kepada
baginda. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Inilah hukuman bagi
dosamu.” Kemudian Allah ‘azza wajalla menurunkan ayat:
﴿قُلْ
لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ…﴾ الآية
(Dipetik
daripada Tafsir Ad-Durul Manthur)