Friday, September 20, 2013

Jika benar beriman, tundukkanlah pandangan!





﴿قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(31)


Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". (30) Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluannya (memelihara kehormatan dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (31)

Sebab Turunnya Ayat
1)      Ibnu Mardawaih meriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a. bahawasanya dia berkata: “Seorang lelaki pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berjalan di salah satu jalan dari jalan-jalan kota Madinah. Dia memandang kepada seorang wanita dan wanita itu memandang pula kepadanya. Maka syaitan membisikkan kepada keduanya bahawa yang satu tidak memandang yang lain melainkan kerana yang satu mengagumi yang lain. Ketika lelaki itu sedang berjalan di samping sebuah dinding sambil terus memandang kepada wanita itu, tiba-tiba wajahnya terhantuk pada dinding itu sehingga hidungnya terluka. Dia berkata: “Demi Allah, aku tidak akan membersihkan darah (yang mengalir keluar dari luka hidung) ini sebelum aku datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alahi wasallam dan memberitahu baginda tentang masalahku”. Dia datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kisahnya kepada baginda. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Inilah hukuman bagi dosamu.” Kemudian Allah ‘azza wajalla menurunkan ayat:


﴿قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ الآية
(Dipetik daripada Tafsir Ad-Durul Manthur)




2)      Ibnu Kathir meriwayatkan daripada Muqatil bin Hayyan dari Jabir bin Abdullah Al-Anshari (iaitu daripada golongan Anshar), berkata Muqatil: “Telah sampai riwayat kepada kami, dan Allah ‘azza wajalla Maha Mengetahui akan benar tidaknya, bahawasanya Jabir bin Abdullah bercerita bahawasanya Asma’ binti Martsad pada suatu hari berada dalam kebun kurma miliknya di kampong halaman Bani Harithah. Wanita-wanita masuk kepadanya tanpa bersarung sehingga terlihat gelang kaki yang mereka pakai, sedang dada dan ikal rambut mereka juga kelihatan. Asma’ berkata: “Alangkah buruknya ini.” Maka dengan itu Allah ‘azza wajalla menurunkan ayat:

﴿وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّالآية 
(Dipetik daripada Tafsir Ibnu Kathir dan Tafsir Ad-Durul Manthur)

Beberapa Catatan Atraktif yang Terdapat dalam Penafsiran Ayat Ini
Catatan Pertama
Rahsia didahulukan perintah “menahan pandangan” berbanding perintah “menjaga kemaluan”.
Mata adalah pelopor bagi perbuatan zina yang mana pandangan mata merupakan pendahuluan bagi segala risiko dan bahaya, ia adalah pintu yang terluas untuk memasuki hati seseorang.
Catatan Kedua
Makna

﴿يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
ialah “menahan pandangan daripada segala yang DIHARAMKAN Allah”, bukan menahan pandangan daripada   segala sesuatu secara mutlak. 
Catatan Ketiga
Perlu difahami bahawa memandang kepada sesuatu diperbolehkan kecuali bahagian-bahagian yang dilarang untuk dipandang, sedangkan ‘bersetubuh’ dilarang selain antara pasangan suami dan isteri yang sah.

Ayat-ayat Hukum
1.       Apakah hukum lelaki yang memandang wanita-wanita yang bukan muhrim?
Syariat Islam mengharamkan lelaki memandang kepada wanita-wanita selain kepada isterinya dan wanita-wanita muhrimnya. Tetapi jika pandangan itu tidak disengajakan (pandangan tiba-tiba) maka tiada dosa atau celaan baginya kerana yang demikian itu di luar kehendak seseorang. Allah ‘azza wajalla tidak membebani kita dengan apa yang kita tidak sanggup memikulnya dan Allah juga tidak memerintahkan kita untuk menutup mata ketika berjalan di jalanan. Namun pandangan yang tidak disengajakan itu tidak boleh diikuti dengan pandangan seterusnya.
Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda kepada 'Ali bin Abi Thalib:



«يا علي لا تتبع النظرة النظرة فإن لك الأولى وليست لك الآخرة»
رواه الترمذي في سننه (أبواب الأداب، باب ما جاء في نظرة الفجاءة، رقم: 2777)

"Hai 'Ali janganlah engkau menyusulkan pandangan dengan pandangan yang lain. Pandangan yang pertama hak untukmu tetapi pandangan yang kedua bukan lagi untukmu." [Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Adab, hadis no : 2777, hadis hasan gharib]

Orang mu'min memperolehi pahala dengan menahan pandangannya kerana hal itu bererti menahan diri daripada perbuatan yang diharamkan.



2.       Apakah batasan aurat lelaki dan perempuan?
Ayat

﴿وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
“dan hendaklah mereka menjaga kemaluan mereka” mengisyaratkan akan kewajiban menutup aurat kerana perintah ‘menjaga kemaluan’ mencakupi menjaganya daripada perbuatan zina, dan menutupinya daripada pandangan manusia.


Aurat sesama lelaki (Antara pusat dan lutut)
Aurat sesama perempuan (Antara pusat dan lutut)

Aurat lelaki di hadapan perempuan
-Jika perempuan itu mahramnya: maka aurat lelaki itu antara pusat dan lutut
-Jika perempuan itu bukan mahramnya, ulama berbeza pendapat :
Pendapat pertama : Seluruh tubuh badan lelaki itu adalah aurat
Pendapat kedua : Aurat lelaki itu antara pusat dan lutut.
Namun pendapat kedua adalah pendapat yang benar.

Aurat perempuan di hadapan lelaki
Menurut mazhab Syafie dan mazhab Hanbali, seluruh tubuh badan perempuan adalah aurat.
Menurut Imam Malik dan Imam Hanafi seluruh tubuh badan perempuan adalah aurat KECUALI muka dan kedua tangannya dari hujung jari sampai pergelangan tangan.

Aurat ketika bersendirian
1. Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya.”
2. Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya.”



3. Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai muslimah samada mereka sedar atau tidak:



1) Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.
2) Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja.
3) Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian Muslimah.
4) Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang nampak telinganya, nampak lehernya, nampak rambutnya, nampak lengannya, nampak kakinya dan sebagainya.
5) Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.
6) Kainnya nipis sehingga boleh dilihat walaupun kain tersebut menutup auratnya.
7) Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri kemahsyuran, ke’glamour‘an dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya.


Sumber:
Diringkaskan daripada Rawai’ al-Bayan oleh Shaikh Muhammad Ali al-Sobuni hafizahullah. 
http://www.abuanasmadani.com/?p=1907

No comments: