Sunday, April 7, 2013

Bila lihat isteri berzina.



﴿وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنْفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ﴾
Dan orang-orang yang menuduh isterinya [berzina] sedangkan mereka tidak mempunyai saksi-saksi melainkan diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali dengan nama Allah (bahawa) sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. (6)

﴿وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِنْ كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ﴾
Dan yang kelima: bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia daripada kalangan orang-orang yang berdusta. (7)

﴿وَيَدْرَأُ عَنْهَا الْعَذَابَ أَنْ تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الْكَاذِبِينَ﴾
Hukuman ke atas isterinya akan terangkat apabila si isteri itu bersaksi dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa suaminya daripada kalangan orang pendusta. (8)

﴿وَالْخَامِسَةَ أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ﴾
dan yang kelima: bahawa kemurkaan Allah akan menimpanya jika suaminya daripada kalangan orang-orang yang benar. (9)

﴿وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ وَأَنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ حَكِيمٌ﴾
Jikalau bukan kerana kurniaan dan rahmat Nya ke atas dirimu dan (kerana) Allah itu Penerima Taubat lagi Maha Bijaksana, [nescaya kamu akan mengalami kesusahan]. (10)


Ringkasan Ayat:

Allah Ta'ala menyatakan bahawa sesiapa yang menuduh isterinya berzina sedangkan dia tidak mempunyai bukti atas dakwaannya itu, dan tidak juga mempunyai saksi untuk tuduhan tersebut. Wajib ke atasnya untuk bersaksi dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa dia bercakap benar. Persaksian ini akan menggantikan kedudukan empat saksi yang diperlukan untuk tuduhan zina, sekaligus ia membebaskannya daripada dikenakan hukum Qazaf. Si suami juga hendaklah bersaksi kali ke lima bahawa dia akan dilaknat Allah seandainya tuduhan yang dikemukakan adalah palsu.

Adapun si isteri yang dituduh berzina, seandainya dia tidak mengakui tuduhan yang dikemukakan ke atas dirinya, dan dia tidak mahu dikenakan hukuman hudud kerana melakukan zina. Maka hendaklah dia bersaksi dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa tuduhan suaminya adalah satu pendustaan. Saksi ini akan menggantikan kedudukan empat saksi yang membuktikan bahawa si perempuan tidak bersalah. Si isteri juga hendaklah bersaksi kali yang ke lima bahawa dia akan dimurkai Allah seandainya tuduhan si suami adalah benar.

Sebab Penurunan Ayat/Asbab an-Nuzul:

1)
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ، أَنَّ هِلَالَ بْنَ أُمَيَّةَ قَذَفَ امْرَأَتَهُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشَرِيكِ ابْنِ سَحْمَاءَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "الْبَيِّنَةَ أَوْ حَدٌّ فِي ظَهْرِكَ"، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِذَا رَأَى أَحَدُنَا عَلَى امْرَأَتِهِ رَجُلًا يَنْطَلِقُ يَلْتَمِسُ الْبَيِّنَةَ، فَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "الْبَيِّنَةَ وَإِلَّا حَدٌّ فِي ظَهْرِكَ"، فَقَالَ هِلَالٌ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ إِنِّي لَصَادِقٌ ، فَلَيُنْزِلَنَّ اللَّهُ مَا يُبَرِّئُ ظَهْرِي مِنَ الْحَدِّ، فَنَزَلَ جِبْرِيلُ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ، وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ فَقَرَأَ حَتَّى بَلَغَ إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ سورة النور آية 6 - 9، فَانْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا، فَجَاءَ هِلَالٌ، فَشَهِدَ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ أَنَّ أَحَدَكُمَا كَاذِبٌ، فَهَلْ مِنْكُمَا تَائِبٌ"، ثُمَّ قَامَتْ، فَشَهِدَتْ، فَلَمَّا كَانَتْ عِنْدَ الْخَامِسَةِ وَقَّفُوهَا، وَقَالُوا: إِنَّهَا مُوجِبَةٌ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: فَتَلَكَّأَتْ، وَنَكَصَتْ حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهَا تَرْجِعُ، ثُمَّ قَالَتْ: لَا أَفْضَحُ قَوْمِي سَائِرَ الْيَوْمِ، فَمَضَتْ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "أَبْصِرُوهَا، فَإِنْ جَاءَتْ بِهِ أَكْحَلَ الْعَيْنَيْنِ سَابِغَ الْأَلْيَتَيْنِ خَدَلَّجَ السَّاقَيْنِ، فَهُوَ لِشَرِيكِ ابْنِ سَحْمَاءَ"، فَجَاءَتْ بِهِ كَذَلِكَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "لَوْلَا مَا مَضَى مِنْ كِتَابِ اللَّهِ لَكَانَ لِي وَلَهَا شَأْنٌ " .
'Abdullah bin 'Abbas radiallahu 'anhuma meriwayatkan, Hilal bin Umayyah telah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Sahma'. Ketika itu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ada di sisinya. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pun bersabda: Engkau berikan bukti atau hukuman hudud akan dikenakan ke atas engkau! Hilal menjawab: Ya Rasulullah, jika salah seorang daripada kami melihat seorang lelaki berada di atas tubuh isterinya, adakah dia tetap perlu mencari bukti? Nabi sallallahu 'alaihi wasallam menjawab: Bukti atau hukuman hudud di kenakan ke atas engkau. Hilal radiallahu 'anhu menjawab: Demi Tuhan yang Mengutus engkau dengan kebenaran, sesungguhnya aku bercakap benar dan Allah akan menurunkan wahyu yang akan membebaskan aku daripada dikenakan hukuman hudud. Jibril turun membawa wahyu kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam (surah an-Nur ayat 6 hingga 9). Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pun beredar dan menghantar utusan kepada isteri Hilal. Hilal pun datang lalu memberikan persaksian. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pun bersabda: Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa salah seorang daripada kalian berdusta. Adakah di antara kalian ada yang mahu bertaubat? Kemudian isteri Hilal bangun, lalu dia pun melakukan persaksian. Apabila sampai kepada persaksian yang kelima orang ramai menyuruh dia berhenti. Mereka berkata: Sesungguhnya (murka Allah) akan benar-benar terjadi. Ibnu 'Abbas berkata: Perempuan itu berhenti sehingga kami menyangka dia akan menarik balik persaksiannya. Kemudian perempuan itu berkata: Aku tidak akan memalukan seluruh kaum aku hari ini. Lalu dia pun menerukan proses li'an tersebut. Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pun bersabda: Perhatikan dia. Jika dia melahirkan anak yang bermata hitam, dengan pinggul besar dan betisnya besar berisi maka dia adalah anak Sharik bin Sahma’. Kemudian dia melahirkan seorang kanak-kanak sepertimana ciri-ciri yang disebutkan itu. Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Seandainya tidak ada keputusan dari kitab Allah, nescaya aku dan dia memiliki urusan."

[Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, Tafsir Surah an-Nur, hadis no: 4403]

2)
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: "لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ: ﴿وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾ سورة النور آية 4، قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ: لَهَكَذَا أُنْزِلَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ لَوْ أَتَيْتُ لَكَاعِ قَدْ تَفَخَّذَهَا رَجُلٌ، لَمْ يَكُنْ لِي أَنْ أُهَيِّجَهُ وَلا أُحَرِّكَهُ حَتَّى آتِيَ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ، فَوَاللَّهِ مَا كُنْتُ لآتِيَ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ حَاجَتِهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا مَعْشَرَ الأَنْصَارِ، أَمَا تَسْمَعُونَ إِلَى مَا يَقُولُ سَيِّدُكُمْ؟ قَالُوا: لا تَلُمْهُ فَإِنَّهُ رَجُلٌ غَيُورٌ، مَا تَزَوَّجَ فِينَا قَطُّ إِلا عَذْرَاءَ، وَلا طَلَّقَ امْرَأَةً لَهُ، فَاجْتَرَأَ رَجُلٌ مِنَّا أَنْ يَتَزَوَّجَهَا، قَالَ سَعْدٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، بِأَبِي وَأُمِّي، وَاللَّهِ إِنِّي لأَعْرِفُ أَنَّهَا مِنَ اللَّهِ، وَأَنَّهَا حَقٌّ، وَلَكِنْ عَجِبْتُ لَوْ وَجَدَتُ لَكَاعِ قَدْ تَفَخَّذَهَا رَجُلٌ، لَمْ يَكُنْ لِي أَنْ أُهَيِّجَهُ وَلا أُحَرِّكَهُ، حَتَّى آتِيَ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ، وَاللَّهِ لا آتِي بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ، حَتَّى يَفُرْغَ مِنْ حَاجَتِهِ، فَوَاللَّهِ مَا لَبِثُوا إِلا يَسِيرًا حَتَّى جَاءَ هِلالُ بْنُ أُمَيَّةَ مِنْ حَدِيقَةٍ لَهُ، فَرَأَى بِعَيْنِهِ وَسَمِعَ بِأُذُنَيْهِ، فَأَمْسَكَ حَتَّى أَصْبَحَ، فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ جَالِسٌ مَعَ أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي جِئْتُ أَهْلِي عِشَاءً فَوَجدْتُ رَجُلا مَعَ أَهْلِي، رَأَيْتُ بِعَيْنَيَّ، وَسَمِعْتُ بِأُذُنَيَّ، فَكَرِهَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَتَاهُ بِهِ وَثَقُلَ عَلَيْهِ جِدًّا حَتَّى عُرِفَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ، فَقَالَ هِلالٌ: وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي لأَرَى الْكَرَاهَةَ فِي وَجْهِكَ مِمَّا أَتَيْتُكَ بِهِ، وَاللَّهُ يعَلْمُ أَنِّي صَادِقٌ، وَمَا قُلْتُ إِلا حَقًّا، وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ فَرَجًا، قَالَ: وَاجْتَمَعَتِ الأَنْصَارُ، فَقَالُوا: ابْتُلِينَا بِمَا قَالَ سَعْدٌ، أَيُجْلَدُ هِلالُ بْنُ أُمَيَّةَ، وَتَبْطُلُ شَهَادَتُهُ فِي الْمُسْلِمِينَ؟ فَهَمَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضَرْبِهِ، فَإِنَّهُ لَكَذَلِكَ يُرِيدُ أَنْ يَأْمُرَ بِضَرْبِهِ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ مَعَ أَصْحَابِهِ، إِذْ نَزَلَ عَلَيْهِ الْوَحْيُ، فَأَمْسَكَ أَصْحَابُهُ عَنْ كَلامِهِ حِينَ عَرَفُوا أَنَّ الْوَحْيَ قَدْ نَزَلَ، حَتَّى فَرَغَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: ﴿وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ شُهَدَاءُ إِلا أَنْفُسُهُمْ إِلَى أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ﴾ سورة النور آية 6-9، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَبْشِرْ يَا هِلالُ، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ جَعَلَ فَرَجًا، فَقَالَ: قَدْ كُنْتُ أَرْجُو ذَلِكَ مِنَ اللَّهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَرْسِلُوا إِلَيْهَا، فَجَاءَتْ، فَلَمَّا اجْتَمَعَا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قِيلَ لَهَا، فَكَذَّبَتْ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ أَنَّ أَحَدَكُمَا كَاذِبٌ، فَهَلْ مِنْكُمَا تَائِبٌ؟ قَالَ هِلالٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، بِأَبِي وَأُمِّي، لَقَدْ صَدَقْتُ، وَمَا قُلْتُ إِلا حَقًّا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاعِنُوا بَيْنَهُمَا، قِيلَ لِهِلالٍ: يَا هِلالُ، اشْهَدْ. فَشَهِدَ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ، فَقِيلَ لَهُ عِنْدَ الْخَامِسَةِ: يَا هِلالُ، اتَّقِ اللَّهَ، فَإِنَّ عَذَابَ اللَّهِ أَشَدُّ مِنْ عَذَابِ النَّاسِ، وَإِنَّهَا الْمُوجِبَةُ الَّتِي تُوجِبُ عَلَيْكَ الْعَذَابَ. فَقَالَ هِلالٌ: وَاللَّهِ لا يُعَذِّبُنِي اللَّهُ عَلَيْهَا، كَمَا لَمْ يَجْلِدْنِي عَلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَشَهِدَ الْخَامِسَةَ: أَنَّ لَعْنَةَ اللَّهُ عَلَيْهِ إِنْ كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ، ثُمَّ قِيلَ لَهَا: اشْهَدِي، فَشَهِدَتْ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الْكَاذِبِينَ. فَقِيلَ لَهَا عِنْدَ الْخَامِسَةِ: اتَّقِي اللَّهَ، فَإِنَّ عَذَابَ اللَّهِ أَشَدُّ مِنْ عَذَابِ النَّاسِ، وَإِنَّ هَذِهِ الْمُوجِبَةُ الَّتِي تُوجِبُ عَلَيْكِ الْعَذَابَ. فَتَلَكَّأَتْ سَاعَةً، ثُمَّ قَالَتْ: وَاللَّهِ لا أَفْضَحُ قَوْمِي. فَشَهِدَتِ الْخَامِسَةَ: أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ. فَفَرَّقَ بَيْنَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَضَى أَنَّ الْوَلَدَ لَهَا، وَلا يُدْعَى لأَبٍ، وَلا يُرْمَى وَلَدُهَا " .
Daripada Ibn 'Abbas radiallahu 'anhuma: Ketika turunnya surah an-Nur ayat 4, Sa'ad bin 'Ubadah radiallahu 'anhu berkata: Adakah untuk hal seperti ini ayat ini diturunkan wahai Rasulullah? Seandainya aku pergi menemui isteriku dan mendapati dia sedang berzina, adakah aku tidak boleh mengganggunya sehingga aku mendatangkan empat saksi? Demi Allah, aku tidak akan mampu mendatangkan empat saksi sehingga dia selesai berzina. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Wahai orang Ansar, adakah kalian tidak mendengar apa yang disebutkan oleh pemimpin kalian? Mereka pun menjawab: Jangan dihiraukan kata-katanya, sesungguhnya dia lelaki yang kuat cemburu. Dia tidak bernikah kecuali dengan anak-anak dara daripada kalangan kami. Jika dia menceraikan isterinya, tidak ada seorang pun yang berani untuk mengahwini jandanya itu. Sa'ad berkata: Ya Rasulullah, sungguh, demi Allah, aku tahu ini adalah wahyu daripada Allah, dan ia adalah benar. Akan tetapi aku hairan, seandainya aku mendapati isteri aku berzina, adakah aku tidak boleh mengganggunya sehingga aku mendatangkan empat saksi? Demi Allah, aku tidak akan mampu mendatangkan empat saksi sehingga dia selesai berzina.

Tidak lama kemudian datanglah Hilal bin Umayyah dari kebunnya. Dia telah melihat dengan matanya dan mendengar dengan telinganya (yang isterinya berzina), dan dia menunggu sehingga waktu pagi. Pada pagi keesokannya, dia pergi bertemu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, ketika itu baginda sallallahu 'alaihi wasallam sedang duduk dengan sahabatnya. Hilal bertanya: Ya Rasulullah, aku pulang kepada keluargaku pada waktu malam, dan aku mendapati seorang lelaki bersama dengan isteri aku. Aku melihat dengan mata ku sendiri, aku mendengar dengan telinga ku sendiri. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak suka dengan berita yang dia bawa sehingga dapat kelihatan perasaan tidak suka itu pada wajah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Hilal berkata: Demi Allah ya Rasulullah, aku melihat mimik tidak suka pada wajah mu dengan apa yang aku sampaikan. Allah Mengetahui bahawa bahawa aku bercakap benar. Aku tidak berkata melainkan yang benar.  Aku berharap agar Allah memberikan aku jalan keluar.

Ibn ‘Abbas berkata: Golongan Ansar pun berkumpul. Mereka berkata: Kami benar-benar tertekan dengan apa yang dikatakan Sa’ad. Adakah Hilal bin Umayyah akan disebat dan tidak lagi diterima persaksiannya dalam kalangan orang Islam? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam turut berasa risau untuk menyebatnya. Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mahu menyuruh untuk menyebatnya. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam duduk dengan sahabat-sahabatnya. Apabila turunnya wahyu, para sahabat semua berhenti bercakap apabila mereka mengetahui wahyu sedang diturunkan sehinggalah ia selesai. Lalu Allah menurunkan surah an-Nur ayat 6 hingga 9. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: Bergembiralah wahai Hilal, sesungguhnya Allah telah memberikan engkau jalan keluar. Hilal berkata: Sesungguhnya aku memang mengharapkan hal itu daripada Allah.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Hantarlah utusan kepadanya. Lalu isteri Hilal pun datang. Apabila mereka berdua berada di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dikatakan kepada isterinya: Engkau pembohong! Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah mengetahui salah seorang daripada kalian pembohong. Adakah salah seorang daripada kalian mahu bertaubat? Hilal berkata: Ya Rasulullah, sungguh, aku bercakap benar. Aku tidak berkata melainkan yang benar. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Lakukan li’an antara kamu berdua. Dikatakan kepada Hilal: Ya Hilal, bersaksilah sebanyak empat kali dengan nama Allah bahawa engkau bercakap benar. Dan pada kali yang kelima, dikatakan kepada beliau: Ya Hilal, bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya azab Allah lebih berat daripada hukuman manusia. Sesungguhnya azabnya akan benar-benar berlaku. Hilal menjawab: Demi Allah, Allah tidak akan mengazab aku kerana perempuan ini sebagaimana Rasulullah tidak menyebatku kerana perempuan ini. Hilal melakukan persaksian kelima: Laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Kemudian dikatakan kepada isteri Hilal. Bersaksilah. Perempuan itupun melakukan persaksian sebanyak empat kali bahawa Hilal berbohong. Kemudian dikatakan kepadanya sebelum persaksian kelima: Bertaqwalah kepada Allah.  Sesungguhnya azab Allah lebih berat daripada hukuman manusia. Azabnya akan benar-benar menimpa kamu. Perempuan itu berhenti seketika, kemudian berkata: Aku tidak akan memalukan kaum ku. Lalu dia melakukan persaksian kelima bahawa kemurkaan Allah akan menimpanya jika Hilal bercakap benar. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memisahkan mereka berdua, dan memutuskan anak itu adalah milik si isteri, dan tidak dinasabkan kepada si ayah.
[Jami’ al-Bayan, no : 23614]

Hukum-Hakam Li'an:

1) Bilakah diwajibkan Li'an?

Jawapan:

Apabila seorang lelaki menuduh isterinya berzina, lalu isteri tidak mengaku di atas tuduhan itu, dan si suami pula enggan menarik pertuduhan tersebut. Ia boleh berlaku dalam dua keadaan:

Apabila si suami dengan perkataan menuduh isterinya berzina seperti dengan berkata "Engkau telah berzina!", "Aku telah melihat engkau berzina". Tuduhan ini dilakukan tanpa membawa empat orang saksi.

Majoriti ulama' berpendapat: Jika seseorang memanggil isterinya "Engkau perempuan zina, engkau pelacur" dan sebagainya, maka si suami wajib melakukan Li'an.

Apabila si suami menafikan anak yang dikandungi isteri sebagai anaknya seperti berkata: "Bukan aku yang menghamili engkau!", atau "Anak ini bukan anak aku!", maka wajib ke atas si suami melakukan Li'an.

2) Adakah Li'an ini satu bentuk sumpah atau ia satu bentuk persaksian.

Ulama' terbahagi kepada dua pendapat dalam hal ini iaitu;

Ia merupakan satu bentuk persaksian. Ini merupakan mazhab Al-Imam Abu Hanifah.

Ia merupakan satu bentuk sumpah, maka hukum-hakam sumpah terpakai di dalamnya. Ini merupakan mazhab majoriti ulama' iaitu mazhab Malik, al-Syafie dan Ahmad.

Dalil pendapat yang menyatakan ia satu bentuk persaksian:

Ayat di atas di mana Allah menggunakan perkataan syahadah yang membawa maksud persaksian.
Hadis Ibn 'Abbas radiallahu 'anhuma berkatakan kisah Hilal bin Umayyah yang turut menggunakan perkataan syahadah yang bermaksud persaksian.
Lafaz yang disebutkan oleh suami ketika melakukan Li'an dalam ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas menyebut perkataan syahadah/persaksian.

Dalil pendapat yang menyatakan ia satu bentuk sumpah.

Perkataan persaksian di atas membawa maksud sumpah. Dalilnya adalah surah al-Munafiqun ayat 1-2 yang bermaksud: Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami bersaksi bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah". Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta. (1) Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai lalu mereka menghalangi [manusia] dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan. (2)
Berdalilkan firman Allah dalam ayat di atas: maka persaksian orang itu ialah empat kali dengan nama Allah. Lafaz Jalalah iaitu Allah digabungkan dengan persaksian menunjukkan yang dimaksudkan di sini adalah sumpah. Apatah lagi persaksian seseorang ke atas dirinya sendiri tidaklah diterima, ini berbeza dengan sumpah.
Berdalilkan sebahagian riwayat Ibnu 'Abbas yang berbunyi: Kalau bukan kerana sumpah...

3) Adakah Li'an boleh dilakukan tanpa kehadiran hakim?

Ulama' bersepakat bahawa Li'an hanya dibenarkan di hadapan hakim atau wakil hakim. Ini kerana apabila salah seorang daripada mereka enggan melakukan Li'an, maka hukuman hudud akan dilaksanakan, dan hukuman hudud adalah sesuatu yang hanya boleh dilaksanakan oleh hakim.

Hakim juga perlu mengingatkan pasangan suami isteri tentang dosa dan azab Allah sebagaimana yang dilakukan dalam Asbab an-Nuzul di atas.

4) Bagaimanakah cara melafazkan Li'an?

Ayat di atas menjelaskan tatacara Li'an, iaitu:
-        Si suami akan melafazkan lafaz seperti ini dan semisalnya sebanyak empat kali: "Aku bersaksi dengan Allah sesungguhnya aku tidak menipu ketika menuduh isteri aku berzina".
-        Kali yang kelima si suami akan melafazkan seperti ini dan semisalnya: "Allah akan melaknat aku jika aku memfitnah isteri aku!".
-        Kemudian si isteri yang dituduh pula akan melafazkan Li'an seperti ini dan semisalnya sebanyak empat kali: "Aku bersaksi dengan Allah bahawa suami aku telah memfitnah aku berzina!".
-        Kemudian pada kali yang kelima si isteri melafazkan: "Kemurkaan Allah akan menimpa aku jika tuduhan suami aku benar!".

Zahir ayat di atas menunjukkan tidak diterima persaksian si suami yang kurang daripada lima kali, dan tidak boleh jua dia menukar perkataan laknat kepada murka.

Begitu juga tidak diterima Li'an seorang isteri yang kurang daripada lima kali dan tidak boleh dia menukar perkataan murka kepada laknat.

Majoriti Fuqaha' berkata Li'an hendaklah dimulakan oleh pihak lelaki. Imam Abu Hanifah rahimahullah tidak mensyaratkan agar Li'an dimulakan oleh pihak lelaki.

Punca kepada khilaf adalah kerana majoriti ulama' berpendapat li'an si suami ke atas si isteri akan membolehkan hukum hudud dilaksanakan ke atas si isteri. Manakala li'an si isteri pula akan membebaskan dirinya daripada dikenakan hukuman hudud. Jadi, secara rasionalnya, li'an si isteri hanya akan berlaku selepas li'an si suami.

Manaka Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa li'an seorang suami tetap tidak membolehkan hukuman hudud dilaksanakan ke atas si isteri. Ini kerana hukuman hudud ke atas penzina tidak disabitkan kecuali melalui persaksian empat orang saksi atau dengan pengakuan pelaku zina sendiri. Jadi, bukanlah satu syarat untuk li'an isteri berlaku selepas li'an suami.

Digalakkan agar proses li'an dilakukan di khalayak kaum Muslimin yang adil.

5) Jika ada yang enggan melakukan li'an, adakah wajib dikenakan hukuman hudud ke atasnya?

Ulama terbahagi kepada dua pendapat dalam hal ini iaitu:

-        Pertama: Wajib dikenakan hudud. Seorang suami yang menuduh isterinya berzina dan dia enggan melakukan li'an, maka suami tersebut akan dikenakan hukum hudud iaitu Qazaf. Isteri yang enggan melakukan li'an pula akan dikenakan hukuman hudud ke atas penzina. Ini merupakan pendapat majoriti ulama' iaitu mazhab Malik, Syafie dan Ahmad

-        Kedua: Tidak dikenakan hudud. Seorang suami yang menuduh isterinya berzina tetapi enggan melakukan li'an, dia perlu dipenjarakan sehingga dia bersetuju melakukan li'an atau dia mengaku bahawa tuduhannya fitnah semata-mata. Seandainya si isteri enggan melakukan li'an, dia hendaklah dipenjarakan sehingga dia bersetuju melakukan li'an atau mengaku telah berzina. Kemudian barulah dikenakan hukuman hudud.

Dalil pendapat pertama:

-        Surah an-Nur ayat 4 yang menerangkan hukum Qazaf ke atas yang menuduh tanpa membawakan empat orang saksi. Kemudian pada ayat ke 6 diterangkan pula untuk suami yang menuduh perlu melakukan li'an. Maka seandainya tuduhan zina ke atas bukan isteri memerlukan empat saksi jika tidak akan dikenakan hukuman sebat 80 kali, maka begitu jugalah tuduhan zina kepada isteri tanpa li'an perlu dikenakan hukuman sebat 80 kali.
-        Firman Allah pada ayat ke 8 surah an-Nur menunjukkan azab ke atas si isteri akan terangkat apabila si isteri melakukan li'an. Azab yang dimaksudkan di sini bukanlah azab di akhirat. Ini kerana jika si isteri melakukan li'an, sedangkan dia benar-benar berzina, azabnya akan bertambah-tambah lagi. Maka azab yang dimaksudkan di sini sama dengan azab yang dimaksudkan dalam ayat ke 2 surah an-Nur iaitu bermaksud hukuman hudud.
-        Ia juga berdalilkan sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kepada Khaulah, iaitu isteri Hilal: Rejam itu lebih ringan ke atas engkau jika dibandingkan dengan kemurkaan Allah. Begitu juga sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kepada Hilah bin 'Umayyah: Engkau buktikan atau engkau dikenakan hukuman hudud!

Dalil pendapat kedua:

-        Ayat ke 6 surah an-Nur menasakhkan atau mengkhususkan ayat Qazaf sebelumnya. Ia menunjukkan bahawa yang wajib ke atas seorang yang menuduh isterinya berzina hanyalah li'an, dan tidak dikenakan hukuman hudud.
-        Apabila seorang isteri yang dituduh berzina enggan melakukan li'an, ini tidak membuktikan dia benar-benar telah berzina. Jadi tidak boleh dia dijatuhkan hukuman rejam.
-        Enggan melakukan li'an tidak secara jelas membuktikan si isteri mengaku berzina. Hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan tidak pasti.

Imam al-Alusi rahimahullah ketika membela pendapat mazhab Hanafi berkata:

والعَجَبُ من الشافعي عليه الرحمة لا يقبل شهادة الزوج عليها بالزنى مع ثلاثة عدول ثم يوجب الحد عليها بقوله وحده وإن كان عبداً فاسقاً
Pelik sungguh pendapat Imam al-Syafie 'alaihi rahmatullah. Dia tidak menerima penyaksian seorang suami bersama tiga lelaki lain yang adil dalam menuduh si isteri berzina, kemudian beliau mewajibkan pula hukuman hudud ke atas si isteri hanya dengan perkataan seorang lelaki yang boleh jadi dia seorang yang fasiq.

6) Adakah ayat li'an memansukhkan ayat qazaf?

Semua riwayat berkaitan Asbab an-Nuzul ayat li'an menunjukkan:

-        Ayat li'an turun selepas ayat qazaf. Ini menunjukkan hukuman ke atas yang menuduh isterinya berzina sama seperti menuduh perempuan selain isteri berzina.
-        Ayat li'an merupakan keringanan kepada si suami yang menuduh isterinya berzina, jadi si suami tidak terkena hukuman qazaf.

Di sisi mazhab Hanafi, ayat li'an menasakhkan ayat qazaf. Maka hukuman qazaf tidak dikenakan ke atas si suami tidak kira dia melakukan li'an atau tidak.

Sedangkan di sisi tiga mazhab yang lain ia hanya mengkhususkan ayat qazaf. Sehingga maksudnya ialah: Seseorang yang menuduh perempuan berzina, jika yang dituduh bukan isterinya dan dia tidak membawa empat orang saksi, maka dia dikenakan hukuman hudud. Jika seseorang menuduh isterinya berzina, dan dia tidak melakukan li'an, maka dia dikenakan hukuman hudud.

7) Adakah pasangan suami isteri yang melakukan li'an dikira bercerai?

Hadis-hadis nabi sallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan pasangan yang melakukan li'an bercerai dan tidak boleh kembali bersama selama-lamanya. Diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Pasangan yang melakukan li'an apabila sudah berpisah, mereka tidak akan kembali bersama selama-lamanya. Ulama bersepakat dalam hal ini.

Hikmahnya kerana permusuhan dan kebencian antara kedua-dua pasangan ini sangat mendalam selepas apa yang berlaku tidak kira tuduhan itu benar atau tidak.

8) Bilakah penceraian itu akan bermula?

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini:
-        Mazhab Syafie: Perpisahan terjadi apabila si suami melafazkan li'an walaupun si isteri belum melafazkan li'an.
-        Mazhab Malik dan Ahmad: Perpisahan terjadi selepas kedua-dua pasangan itu melakukan li'an.
-       Abu Hanifah dan Ahmad dalam satu riwayat lain: Perpisahan terjadi selepas kedua-dua melakukan li'an dan hakim memisahkan mereka berdua.

9) Apabila seseorang lelaki melakukan li'an, kemudian dia mengaku dia menipu, lalu dia pun dihukumi hukuman qazaf, adakah dia boleh kembali kepada isterinya?

-        Tidak boleh lagi kembali kepada isterinya kerana dia telah terpisah selama-lamanya. Ini merupakan pendapat mazhab Malik, Syafie, majoriti sahabat serta tabi'in. Ia berdalilkan hadis-hadis yang menunjukkan mereka terpisah selama-lamanya.
-        Boleh kembali isterinya selepas dijatuhi hukum hudud. Ini kerana selepas dijatuhi hukuman hudud iaitu qazaf, maka hukuman li'an sudah tidak terpakai lagi ke atas dirinya.

10) Bagaimanakah status anak yang dili'an?

Apabila seorang suami menuduh anak yang dilahirkan bukan anaknya, dan dia telah pun melakukan li'an, maka terputuslah nasabnya. Si ayah tidak lagi wajib memberikan nafkah, mereka tidak saling mewarisi. Adapun hubungan si anak dengan ibunya kekal berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin ‘Amru radiallahu ‘anhu:

" قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي وَلَدِ الْمُتَلَاعِنَيْنِ ، أَنَّهُ يَرِثُ أُمَّهُ ، وَتَرِثُهُ أُمُّهُ ، وَمَنْ قَفَاهَا بِهِ جُلِدَ ثَمَانِينَ ، وَمَنْ دَعَاهُ وَلَدَ زِنًا جُلِدَ ثَمَانِينَ "
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memutuskan bahawa anak yang dilia’an, dia akan mewarisi ibunya, dan ibunya akan mewarisi daripadanya. Sesiapa yang menuduh perempuan itu berzina akan disebat lapan puluh kali. Sesiapa yang memanggilnya anak zina akan disebat lapan puluh kali.

[Musnad Ahmad, Musnad Sepuluh Yang Dijamin Syurga, Musnad Periwayat Hadis Yang Banyak Daripada Sahabat, Musnad ‘Abdullah bin ‘Amru, hadis no : 6852, Shaikh Ahmad Syakir menyatakan: Isnadnya sahih. Imam al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid berkata: Padanya terdapat ‘An ‘Anah Ibn Ishaq sedangkan dia seorang mudallis, dan baki perawinya adalah thiqah]

Diringkaskan daripada Rawai’ al-Bayan oleh Shaikh Muhammad Ali al-Sobuni hafizahullah.

No comments: