Beliau adalah Ummul Mukminin Ummu Abdillah
Aisyah binti Abu Bakr, Shiddiqah binti Shiddiqul Akbar, isteri tercinta
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau lahir empat tahun setelah
diangkatnya Muhammad menjadi seorang Nabi. Ibu beliau bernama Ummu Ruman binti
Amir bin Uwaimir bin Abdi Syams bin Kinanah yang meninggal dunia pada waktu
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masih hidup iaitu pada tahun ke-6 H.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menikahi
Aisyah dua tahun sebelum hijrah melalui sebuah ikatan suci yang mengukuhkan
gelaran Aisyah menjadi Ummul Mukminin, tatkala itu Aisyah masih berumur enam
tahun. Dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membangun rumah tangga
dengannya setelah berhijrah, tepatnya pada bulan Syawwal tahun ke-2 Hijriah dan
ia sudah berumur sembilan tahun.
Aisyah menceritakan: “Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam menikahiku selepas meninggalnya Khadijah ketika aku masih
berumur enam tahun, dan aku dipertemukan dengan Baginda tatkala aku berumur
sembilan tahun. Para wanita datang kepadaku padahal aku sedang asyik bermain
buaian dan rambutku terurai panjang, lalu mereka menghiasiku dan mempertemukan
aku dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Lihat Sunan Abu Dawud: 9435).