Beliau adalah Ummul Mukminin Ummu Abdillah
Aisyah binti Abu Bakr, Shiddiqah binti Shiddiqul Akbar, isteri tercinta
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau lahir empat tahun setelah
diangkatnya Muhammad menjadi seorang Nabi. Ibu beliau bernama Ummu Ruman binti
Amir bin Uwaimir bin Abdi Syams bin Kinanah yang meninggal dunia pada waktu
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masih hidup iaitu pada tahun ke-6 H.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menikahi
Aisyah dua tahun sebelum hijrah melalui sebuah ikatan suci yang mengukuhkan
gelaran Aisyah menjadi Ummul Mukminin, tatkala itu Aisyah masih berumur enam
tahun. Dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membangun rumah tangga
dengannya setelah berhijrah, tepatnya pada bulan Syawwal tahun ke-2 Hijriah dan
ia sudah berumur sembilan tahun.
Aisyah menceritakan: “Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam menikahiku selepas meninggalnya Khadijah ketika aku masih
berumur enam tahun, dan aku dipertemukan dengan Baginda tatkala aku berumur
sembilan tahun. Para wanita datang kepadaku padahal aku sedang asyik bermain
buaian dan rambutku terurai panjang, lalu mereka menghiasiku dan mempertemukan
aku dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Lihat Sunan Abu Dawud: 9435).
Kemudian rumah tangga itu berlangsung dalam suka
dan duka selama 8 tahun 5 bulan, hingga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
meninggal dunia pada tahun 11 H ketika Aisyah baru berumur 18 tahun. Aisyah
adalah seorang wanita cantik rupa parasnya, berkulit putih, kerana itulah
beliau sering dipanggil dengan “Humaira”. Selain cantik, beliau juga dikenali
sebagai seorang wanita cerdas yang Allah Subhanahu wa Ta’ala telah
mempersiapkannya untuk menjadi pendamping Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dalam mengembangkan amanah risalah yang akan menjadi penyejuk mata dan
pelipur lara bagi diri baginda. Suatu hari Jibril memperlihatkan (kepada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam) gambar Aisyah pada secarik kain sutra
berwarna hijau sambil mengatakan: “Dia adalah calon isterimu kelak, di dunia
dan di akhirat.” (HR. At-Tirmidzi (3880), lihat Shahih Sunan at-Tirmidzi
(3041))
Selain menjadi seorang pendamping yang sentiasa
memberi dorongan dan motivasi kepada suami tercinta di tengah beratnya medan
dakwah dan permusuhan dari kaumnya, Aisyah juga tampil menjadi seorang penuntut
ilmu yang sentiasa belajar dalam madrasah nubuwwah di mana beliau menimba ilmu
langsung dari sumbernya. Beliau tercatat termasuk orang yang banyak meriwayatkan
hadith dan memiliki keunggulan dalam berbagai cabang ilmu di antaranya ilmu
fiqh, kesihatan, dan syair Arab. Setidaknya sebanyak 1210 hadith yang beliau
riwayatkan telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim dan 174 hadits yang
hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari serta 54 hadits yang hanya diriwayatkan
oleh Imam Muslim. Sehingga pembesar para sahabat kibar tatkala mereka
mendapatkan permasalahan mereka datang dan merujuk kepada Ummul Mukminin
Aisyah.
Kedudukan Aisyah di Sisi Rasulullah
Suatu hari orang-orang Habasyah masuk masjid dan
bermain di dalam masjid, lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil
Aisyah: “Wahai Humaira, apakah engkau mahu melihat mereka?” Aisyah menjawab:
“Ya.” Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri di hadapan pintu, lalu aku
datang dan aku letakkan daguku pada bahu Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan aku tempelkan wajahku pada pipi baginda.” Lalu ia mengatakan: “Di
antara perkataan mereka tatkala itu adalah, ‘Abul Qasim adalah seorang yang
baik.” Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan: “Apakah sudah
cukup wahai Aisyah?” Aisyah menjawab: “Jangan terburu-buru wahai Rasulullah.”
Maka beliau pun tetap berdiri. Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
mengulangi lagi pertanyaannya: “Apakah sudah cukup wahai Aisyah?” Namun, Aisyah
tetap menjawab, “Jangan terburu-buru wahai Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam“. Aisyah mengatakan: “Sebenarnya bukan kerana aku senang melihat
permainan mereka, tetapi aku hanya ingin memperlihatkan kepada para wanita
bagaimana kedudukan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadapku dan
kedudukanku terhadapnya.” (HR. An-Nasa’i (5/307), lihat Ash Shahihah (3277))
Gurau senda Nabi bersama Aisyah
Aisyah bercerita: “Suatu waktu Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam datang untuk menemuiku sedang aku tengah
bermain-main dengan gadis-gadis kecil, lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bertanya kepadaku: “Apa ini wahai Aisyah?” Lalu aku katakana: “Itu
adalah kuda Nabi Sulaiman yang memiliki sayap.” Maka Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam pun tertawa. (HR. Ibnu Sa’ad dalam Thabaqat (8/68), lihat Shahih Ibnu
Hibban (13/174))
Suatu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam berlumba lari dengan Aisyah dan Aisyah menang. Aisyah bercerita: “Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam berlari dan mendahuluiku (namun aku mengejarnya)
hingga aku mendahuluinya. Tetapi, tatkala badanku gemuk, Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam mengajak lumba lari lagi namun baginda mendahului, kemudian
baginda mengatakan: “Wahai Aisyah, ini adalah balasan atas kekalahanku yang
dahulu’.” (HR. Thabrani dalam Mu’jamul Kabir 23/47), lihat Al-Misykah (2.238))
Keutamaan-keutamaan Aisyah
Banyak sekali keutamaan yang dimiliki oleh Ummul
Mukminin Aisyah sehinggakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah
mengatakan dalam sabdanya:
“Orang yang mulia dari kalangan lelaki banyak,
namun yang mulia dari kalangan wanita hanyalah Maryam binti Imran dan Asiyah
isteri Fir’aun, dan keutamaan Aisyah atas semua wanita seperti keutamaan tsarid
atas segala makanan.” (HR. Bukhari
(5/2067) dan Muslim (2431))
Beberapa kemuliaan itu di antaranya:
1. Pertama:
Beliau adalah satu-satunya isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang
dinikahi tatkala gadis, berbeza dengan isteri-isteri Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain kerana mereka dinikahi tatkala janda.
Aisyah sendiri pernah mengatakan: “Aku telah
diberi sembilan perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun setelah
Maryam. Jibril telah menunjukkan gambarku tatkala Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam diperintah untuk menikahiku, baginda menikahiku tatkala aku
masih gadis dan tidaklah beliau menikahi seorang gadis kecuali diriku, baginda
meninggal dunia sedang kepalanya berada dalam dekapanku serta baginda
dikuburkan di rumahku, para malaikat menaungi rumahku, Al-Quran turun sedang
aku dan baginda berada dalam satu selimut, aku adalah puteri kekasih dan
sahabat terdekatnya, pembelaan kesucianku turun dari atas langit, aku
dilahirkan dari dua orang tua yang baik, aku dijanjikan dengan ampunan dan rezeki
yang mulia.” (Lihat al-Hujjah Fi Bayan Mahajjah (2/398))
2. Kedua: Beliau adalah orang
yang paling dicintai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dari
kalangan wanita.
Suatu ketika Amr bin al-Ash bertanya kepada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia
yang paling engkau cintai?” Baginda menjawab: “Aisyah.” “Dari kalangan lelaki?”
tanya Amr. Baginda menjawab: “Bapanya.” (HR. Bukhari (3662) dan Muslim (2384))
Maka layakkah kita membenci apalagi mencela orang
yang paling dicintai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam?!! Mencela
Aisyah bererti mencela, menyakiti hati, dan menjatuhkan kehormatan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Na’udzubillah.
3. Ketiga: Aisyah adalah
wanita yang paling alim daripada wanita lainnya.
· Berkata
az-Zuhri: “Apabila ilmu Aisyah dikumpulkan dengan ilmu seluruh para wanita
lain, maka ilmu Aisyah lebih utama.” (Lihat Al-Mustadrak Imam Hakim (4/11))
· Berkata
Atha’: “Aisyah adalah wanita yang paling faqih dan pendapat-pendapatnya adalah
pendapat yang paling membawa kemaslahatan untuk umum.” (Lihat al-Mustadrok Imam
Hakim (4/11))
· Berkata
Ibnu Abdil Barr: “Aisyah adalah satu-satunya wanita di zamannya yang memiliki
kelebihan dalam tiga bidang ilmu: ilmu fiqh, ilmu kesihatan, dan ilmu syair.”
4. Keempat: Para pembesar
sahabat apabila mendapati sesuatu yang tidak difahami dalam masalah agama, maka
mereka datang kepada Aisyah dan menanyakannya hingga Aisyah menyebutkan
jawabannya.
Berkata Abu Musa al-Asy’ari, “Tidaklah kami
kebingungan tentang suatu hadits lalu kami bertanya kepada Aisyah, kecuali kami
mendapatkan jawapan dari sisinya.” (Lihat Shahih Sunan at-Tirmidzi (3044))
5. Kelima: Tatkala
istri-istri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam diberi pilihan untuk tetap
bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan kehidupan apa adanya, atau
diceraikan dan akan mendapatkan dunia, maka Aisyah adalah orang pertama
yang menyatakan tetap bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bagaimanapun
kondisi baginda sehingga isteri-isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang
lain mengikuti pilihan-pilihannya.
6. Keenam:
Syari’at tayammum disyari’atkan kerana beliau, iaitu tatkala manusia
mencarikan kalungnya yang hilang di suatu tempat hingga datang waktu solat
namun mereka tidak menjumpai air hingga disyari’atkanlah tayammum.
Berkata Usaid bin Khudair, “Itu adalah awal
keberkahan bagi kalian wahai keluarga Abu Bakr.” (HR. Bukhari (334))
7. Ketujuh:
Aisyah adalah wanita yang dibela kesuciannya dari langit ketujuh.
Kisah tuduhan zina yang dilontarkan orang-orang
munafik untuk menjatuhkan martabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melalui
isteri baginda telah terhapus dengan turunnya 16 ayat secara berurutan yang
akan senantiasa dibaca hingga hari kiamat. Allah Subhanahu wa Ta’ala
mempersaksikan kesucian Aisyah dan menjanjikannya dengan ampunan dan rezeki
yang baik.
Namun, kerana kerendahan hatinya, Aisyah
mengatakan: “Sesungguhnya perkara yang menimpaku atas diriku itu lebih hina
bila sampai Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentangku melalui wahyu yang
akan senantiasa dibaca.” (HR. Bukhari (4141))
Oleh kerana itu, apabila Masruq meriwayatkan
hadits dari Aisyah, beliau selalu mengatakan: “Telah bercerita kepadaku
Shiddiqoh binti Shiddiq, wanita yang suci dan disucikan.”
8. Kelapan: Barang siapa yang
menuduh beliau telah berzina maka dia kafir, kerana Al-Quran telah turun dan
menyucikan dirinya, berbeza dengan isteri-isteri Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam yang lain.
9. Kesembilan: Dengan sebab
beliau Allah Subhanahu wa Ta’ala mensyari’atkan hukuman sebat bagi orang yang
menuduh wanita muhshanat (yang menjaga diri) berzina, tanpa bukti yang
dibenarkan syari’at. (HUKUMAN QAZAF)
10. Kesepuluh: Tatkala Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam sakit, baginda memilih tinggal di rumah Aisyah dan akhirnya baginda
pun meninggal dunia dalam dakapan Aisyah.
Berkata Abu Wafa’ Ibnu Aqil: “Lihatlah bagaimana
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memilih untuk tinggal di rumah Aisyah
tatkala sakit dan memilih bapanya (Abu Bakr) untuk menggantikannya mengimami
manusia, namun mengapa keutamaan agung seperti ini dilupakan oleh hati
orang-orang Rafidhah padahal hampir-hampir saja keutamaan ini tidak luput
sampai pun oleh binatang, bagaimana dengan mereka…?!!”
Aisyah meninggal dunia di Madinah malam Selasa
tanggal 17 Ramadhan 57 H, pada masa pemerintahan Muawiyah, ketika usianya 65
tahun, setelah berwasiat untuk disolatkan oleh Abu Hurairah dan dikuburkan di
pekuburan Baqi’ pada malam itu juga. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala meredhai
Aisyah dan menempatkan beliau pada kedudukan yang tinggi di sisi Rabb-Nya.
Aamiin.
Wallahu A’lam.
No comments:
Post a Comment