Beberapa dalil daripada Al-Quran dan Hadis
telah menyebut tentang kelebihannya:
1. Firman Allah SWT:
[ وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْر]
Maksudnya: {Demi fajar dan
malam yang sepuluh.} [Al-Fajr: 1-2]
Kata Ibnu Kathir: Yang
dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah.
Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR:
Imam Bukhari].
2. Dari Ibnu Abbas RA,
Rasulullah SAW telah bersabda:
((مَا مِنْ أَيَّامٍ، الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ -يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ- قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)). [رواه اأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].
Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh
padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para
sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah?Rasulullah bersabda:
“Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad)
membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR:
Ahmad, At-Tirmizi].
3. Firman Allah SWT:
{وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ} سورة الحج: 28
Maksudnya: {Hendaklah kamu menyebut nama Allah
pada hari-hari yang ditentukan.} [Surah Al-Haj: 28].
Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari
yang sepuluh itu.
4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ)) [رواه أحمد 5446-صحيح]
Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di
sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari
yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan
bertahmid.”
5. Adalah Said bin Jubir
RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang
tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi-
Hasan].
6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di
antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di
dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada
waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Amalan-Amalan Yang Baik Dilakukan
Pada Hari-Hari Tersebut:
1. SOLAT. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat
fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik
amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu
sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan
kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.
2. PUASA. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh.
Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri
Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah,
pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam
Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari
sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.
3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID. Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan:
“Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah),
bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid
(mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu
Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai
yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama". Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di
Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar
mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara
takbir.”
Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari
tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di
semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan
perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.
Adalah patut sekali para muslimin sekarang
menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan
orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang
soleh yang terdahulu.
Antara lafaz-lafaz takbir yang
diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:
الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر.
لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.
4. PUASA PADA HARI ARAFAH. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu
pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah
SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.
((صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]
Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan
kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” [HR Muslim].
PERINGATAN: Ini
hanyalah disunatkan untuk orang yang TIDAK mengerjakan haji sahaja.
Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan
berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah
iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.
Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah.
Kebanyakan orang Islam telah lupa akan
kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu
ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama’ berpendapat hari ini ialah
hari yang paling afdhal didalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.
Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi
Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar
(Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi
Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”.
(Hari Qar
ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari
kesebelas Zulhijjah).
Setengah ulama’ lain pula berpendapat hari
Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun
kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai
daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri
hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada
hari tersebut.
Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama
(Hari Nahr),
kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang
menyalahinya.
Samada hari Nahr atau hari Arafah yang
lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji
mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat
pada keduanya.
Cara Menyambut Musim Kebajikan:
1. Setiap
muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat
yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang
menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.
2. Menanam
semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah
SWT yang bermaksud: {Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan)
Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah
benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.} [Al-Ankabut: 69].
Perhatian Kepada Mereka Yang Ingin Melakukan Ibadat Korban!
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Apabila
masuk sepuluh terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk
menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan
kukunya.” [HR Muslim].
Kata Imam Nawawi rhm: “Para
ulama’ berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian
ulama’ Syafei mengatakan haram
perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafei dan ulama’nya yang lain
mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang tidak sampai
kepada haram).” [Syarah Sahih Muslim].
Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah
mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persediaan pada awalnya lagi untuk
menghadapi larangan yang besar ini.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga
kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang
berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment