Al-Imam Ibnu
Jauzi ada mengarang sebuah kitab bertajuk Ahkam an-Nisa’. Buku ini menghuraikan hukum-hakam yang
berkaitan dengan wanita. Al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah menuliskan sebuah
bab yang bertajuk:
الباب الثالث في وجوبِ طلب العلْم على
المرأة
Bab
Ketiga: Kewajipan Menuntut Ilmu Untuk Wanita
Imam Ibn al-Jauzi menyatakan:
Wanita adalah insan yang diletakkan kewajipan atau
tanggunjawab sebagaimana lelaki. Wajib ke atas seorang wanita untuk menuntut
ilmu yang wajib untuk dirinya agar dia dapat menunaikan kewajipan dengan penuh
keyakinan.
Seandainya dia mempunyai ayah, saudara lelaki, suami, atau
mahram yang mampu mengajarnya perkara-perkara yang wajib, dan mendidiknya
bagaimana untuk menunaikan kewajipan, maka itu cukup untuk wanita tersebut.
Jika tidak, seandainya mampu, dia hendaklah bertanya dan
belajar daripada wanita yang berilmu.
Jika tidak,
dia hendaklah belajar daripada lelaki dewasa, dengan kehadiran orang lain tanpa
berdua-duaan dengannya. Ia hendaklah dilakukan pada kadar yang diperlukan. Jika
timbul persoalan berkaitan agama, hendaklah wanita itu bertanya tanpa berasa
malu. Sesungguhnya Allah tidak malu kepada kebenaran. [1]
Terdapat
banyak dalil yang menunjukkan bagaimana wanita-wanita yang hidup di zaman
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh menuntut ilmu.
‘Aisyah
radiallahu ‘anha berkata :
نِعْمَ
النِّسَاءُ نِسَاءُ الأَنْصَارِ لَمْ يَكُنْ يَمْنَعُهُنَّ الْحَيَاءُ أَنْ يَتَفَقَّهْنَ
فِي الدِّينِ
Sebaik-baik wanita adalah wanita
Ansar. Sifat malu mereka tidak menghalang mereka daripada mempelajari agama.
[Sahih Muslim][2]
Dalam Sahih
Muslim jua disebutkan:
قَالَ إِسْحَاقُ بْنُ أَبِي طَلْحَةَ
حَدَّثَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ، قَالَ جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ - وَهِيَ جَدَّةُ إِسْحَاقَ
- إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ لَهُ وَعَائِشَةُ عِنْدَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ الْمَرْأَةُ تَرَى مَا يَرَى الرَّجُلُ فِي الْمَنَامِ
فَتَرَى مِنْ نَفْسِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ مِنْ نَفْسِهِ . فَقَالَتْ عَائِشَةُ: يَا أُمَّ سُلَيْمٍ فَضَحْتِ النِّسَاءَ تَرِبَتْ يَمِينُكِ . فَقَالَ
لِعَائِشَةَ : بَلْ أَنْتِ فَتَرِبَتْ يَمِينُكِ نَعَمْ فَلْتَغْتَسِلْ يَا أُمَّ سُلَيْمٍ
إِذَا رَأَتْ ذَاكِ "
Ishaq bin
Abi Talhah berkata, Anas bin Malik memberitahu ku : Ummu Sulaim –iaitu nenek
kepada Ishaq- telah datang bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,
ketika itu Aisyah ada bersama baginda. Ummu Sulaim pun bertanya: Ya Rasulullah,
wanita turut melihat apa yang lelaki lihat di dalam mimpi, dan wanita turut
melihat apa yang berlaku pada dirinya sebagaimana lelaki melihat (selepas
berlakunya mimpi itu).
Aisyah berkata: Ya Ummu Sulaim ! Engkau telah memalukan kaum wanita. Semoga
tangan kanan engkau diseluputi debu ! Baginda pun berkata kepada ‘Aisyah : Bahkan tangan engkau lah yang akan diseluputi
debu. Benar Ya Ummu Sulaim. Wanita itu hendaklah mandi wajib apabila melihat
hal tersebut (iaitu apabila air maninya keluar) [Sahih Muslim][3].
Dalam hadis
ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membela tindakan Ummu Sulaim
bertanyakan soalan yang sensitif, dan membantah tindakan Aisyah yang mencela
pertanyaan Ummu Sulaim.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ :قَالَتِ النِّسَاءُ لِلنَّبِيِّ صلى
الله عليه وسلم : غَلَبَنَا عَلَيْكَ الرِّجَالُ
فَاجْعَلْ لَنَا يَوْمًا مِنْ نَفْسِكَ فَوَعَدَهُنَّ يَوْمًا لَقِيَهُنَّ فِيهِ فَوَعَظَهُنَّ
وَأَمَرَهُنَّ ….
Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu
meriwayatkan : Kaum wanita berkata kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam :
Kaum lelaki telah menewaskan kami. Sediakanlah satu hari untuk engkau (mengajar
kami). Lalu baginda pun berjanji dengan mereka untuk bertemu mereka pada satu
hari. (Pada hari yang dijanjikan), baginda pun menasihati menasihati dan
mengajarkan kewajipan kepada mereka… [Sahih al-Bukhari][4]
Imam Abu al-Hasan Ali bin Khalaf atau
lebih dikenali sebagai Ibn Batthal menyebutkan dalam syarahnya :
Di dalam hadis ini menunjukkan: Kaum
wanita bertanyakan soalan tentang urusan agamanya. Ini menunjukkan dibenarkan
berbual dengan lelaki untuk urusan tersebut apabila mereka mempunyai hajat.
Sesungguhnya, ketika itu ilmu dipelajari daripada isteri-isteri nabi sallallahu
‘alaihi wasallam, dan daripada wanita salaf yang lain.[5]
Hal ini sudah pasti memerlukan
kerjasama daripada kaum lelaki jua. Nasihat kepada kaum lelaki, jadilah seorang
lelaki yang mampu membimbing isteri untuk masuk ke dalam syurga. Jika seorang
suami kurang ilmunya, bawalah isteri menghadiri majlis-majlis ilmu. Sesungguhnya
bekalan menuntut ilmu akhirat itu sama pentingnya bahkan lebih pentingnya
daripada harta benda dan kemewahan dunia.
Untuk Muslimah pula, letakkanlah hal
ini sebagai satu keutamaan dalam kehidupan. Apabila belum bernikah, penuhilah
masa dengan menghadiri majlis ilmu, apabila memilih calon suami, pilihlah suami
yang mampu menyampaikan ilmu, atau jika tidak carilah seorang suami yang bukan
hanya baik akhlak dan agamanya, bahkan cinta menghadiri majlis ilmu.
Untuk ibu bapa pula, berikanlah
keutamaan mempelajari ilmu agama, sebagaimana ambil berat mereka kepada
pelajaran akademik anak-anak. Sesungguhnya ilmu agama inilah yang akan menjadi
benteng menghadapi godaan nafsu dan syaitan.
Untuk penganjur majlis ilmu pula,
pastikan majlis ilmu yang berjalan memberikan hak dan peluang yang sama untuk
kaum wanita bertanya soalan, dan memudahkan mereka menuntut ilmu sebagaimana
nikmat yang dinikmati oleh kaum lelaki.
الباب الثالث في وجوبِ طلب العلْم على المرأة
المرأة شخص مكلَّف كالرجل، فيجب عليها طلب
علم الواجبات عليها؛ لتكون من أدائها على يقين.
فإنْ فإن كان
لها أب، أو أخ، أو زوج،
أو محرم، يعلِّمها الفرائض، ويعرِّفها كيف تؤدي الواجبات، كفاها ذلك، وإنْ لم تكن سألت
وتعلمت، فإن قدرت على امرأة تعلم ذلك، تعرفت منها، وإلا تعلّمت من الأشياخ، وذوي الأسنان
من غير خلوة بها، وتقتصر على قدر اللازم، ومتى حدثت حادثة في دينها سألت عنها، ولم
تستحِ، فإنَّ الله لا يستحي من الحق.
[2]
Sahih Muslim, Kitab al-Haidh, Bab (باب اسْتِحْبَابِ
اسْتِعْمَالِ الْمُغْتَسِلَةِ مِنَ الْحَيْضِ فِرْصَةً مِنْ مِسْكٍ فِي مَوْضِعِ الدَّمِ) Digalakkan kepada wanita yang bersuci
daripada haidh untuk menggunakan wangian pada tempat keluar darah, hadis no :
776.
[3]
Sahih Muslim, Kitab al-Haidh, Bab (اب وُجُوبِ الْغُسْلِ
عَلَى الْمَرْأَةِ بِخُرُوجِ الْمَنِيِّ مِنْهَا) Wajibnya Wanita Mandi Apabila Keluar Mani, hadis no : 735
[4]
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab (باب هَلْ يُجْعَلُ
لِلنِّسَاءِ يَوْمٌ عَلَى حِدَةٍ فِي الْعِلْمِ) Adakah Dibuat Satu Hari Khasa Untuk Wanita Menuntut Ilmu,
hadis no : 101.
[5]
Syarah Ibn Batthal :
وفيه : سؤال النساء عن أمر دينهن ، وجواز كلامهن مع الرجال فى ذلك ، فيما
لهن الحاجة إليه . وقد أُخِذَ العلم عن أزواج النبى ، ( صلى الله عليه وسلم ) ، وعن
غيرهن من نساء السلف
.
No comments:
Post a Comment