Pengorbanan
Junjungan Besar Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam
Sayugia
kita menghayati kisah kehidupan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam untuk
menyuburkan cinta kepada Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam.
Baginda
sallallahu ‘alaihi wassalam melalui fasa kehidupan yang berbeza antara sebelum
dilantik menjadi nabi dan selepas mengajak kaumnya kepada Islam. Jika sebelum
dilantik menjadi utusan Allah, kaumnya memujinya, menyanjungnya,
mempercayainya, menyayanginya, semuanya berubah 180 darjah ketika mana nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam memulakan dakwah kepada kaumnya.
Selepas
turunnya wahyu yang pertama, Khadijah binti Khuwailid radiallahu ‘anha membawa
suaminya yang tercinta, Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam untuk bertemu bapa
saudaranya, Waraqah bin Naufal.
Waraqah
menyebutkan satu pernyataan yang jelas kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:
“Alangkah
baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya aku masih hidup ketika kaummu
mengusirmu..”
Nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam terkejut. Masakan tidak, kaumnya selama ini
menyanjungi baginda sallallahu ‘alaihi wassalam, tiba-tiba hari ini Waraqah
menyatakan bahawa nabi sallallahu ‘alaihi wassalam akan diusir oleh kaumnya
sendiri.
Waraqah
mengulas lagi: Tidak seorang pun lelaki yang membawa seperti yang engkau bawa
melainkan dia akan dimusuhi. Kalaulah aku masih ada pada hari engkau
mengalaminya, pasti aku akan menolong engkau dengan bersungguh-sungguh. Itulah
isyarat Waraqah kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam untuk bersedia dengan
situasi yang buruk akan menimpa baginda sallallahu ‘alaihi wassalam.
Wahyu
kedua turun, mengarahkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam bangkita melakukan
dakwah. Surah al-Muddatsir: 1-7
1.
[1] Wahai
orang yang berselimut!
[2] Bangunlah
serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
[3] Dan Tuhanmu,
maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
[4] Dan pakaianmu,
maka hendaklah engkau bersihkan.
[5] Dan segala
kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
[6] Dan
janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak
daripadanya.
[7] Dan bagi
(menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap
tentangan musuh)!
Allah
s.w.t mengeluarkan arahan supaya nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menyeru
kaumnya secara terbuka. Allah mengakhiri arahan tersebut dengan amaran dan
peringatan kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam supaya tidak mengharapkan
balasan dan kenikmatan mahupun kesenangan untuk dakwah yang dilakukan. Allah
mengarahkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam untuk bersabar, sabar dan sabar.
Ujian yang getir sedang menunggu nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.
Dakwah
Secara Terbuka Kepada Kaum Kerabat
Siri
dakwah secara tertutup berjalan tanpa gangguan daripada musyrikin Mekah. Tahun
ke empat kenabian, Allah s.w.t menurunkan arahan agar dakwah dilakukan secara
terbuka:
Dan
berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. [Asy-Syuara:
214]
Nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam mengumpulkan keluarganya daripada Bani Hasyim dan
Bani Abdul Muttalib. Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam memulakan dakwahnya:
“Segala
puji bagi Allah, aku memuji Nya, dan meminta pertolongan Nya, aku beriman
dengan Nya dan aku berserah kepada Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain
Allah dan tiada sekutu bagi Nya.
Sesungguhnya
orang yang merintis jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya.
Demi Allah yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah
kepada kamu khususnya dan kepada semua manusia umumnya.
Demi
Allah, kamu pasti akan mati sebagaimana kamu pastinya akan tidur, kamu pasti
akan dibangkitkan sebagaimana kamu jaga daripada tidur, dan kamu pastinya akan
dihisab terhadap apa yang kamu kerjakan. Balasannya hanyalah syurga
selama-lamanya atau neraka selama-lamanya…”
Abu
Talib mendengar seruan anak buahnya sallallahu ‘alaihi wassalam, terus beliau
menjawab:
“Sungguh
kami suka untuk membantumu dan menerima nasihatmu serta sangat mempercayai
berita yang engkau sampaikan. Mereka ini ialah adik beradikmu yang sedang
berkumpul, sementara aku hanyalah salah seorang daripada mereka. Akan tetapi,
akulah yang paling segera menyahut apa yang engkau suka. Maka lakukanlah apa
yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan
mempertahankan diri mu. Akan tetapi diriku sendiri masih belum terasa untuk
meninggalkan agama Abdul Muttalib.”
Tetapi
Abu Lahab, bapa saudara nabi sallallahu ‘alaihi wassalam memberikan reaksi negatif
yang sangat keras.
“Demi
Allah! Ini adalah keburukan. Halanglah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain
daripada kamu”.
Mendengar
kata-kata Abu Lahab, Abu Talib menjawab: “Demi
Allah! Aku akan mempertahankannya selagi hayat masih ada”.
Seruan
Bukit Safa
Di
atas Bukit Safa nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menyeru umatnya, baginda
sallallahu ‘alaihi wassalam berkata: “Sesungguhnya
aku ini adalah seorang pemberi peringatan tentang azab yang dahsyat di hadapan
kamu….”
Baginda
sallallahu ‘alaihi wassalam berkata lagi: “Hai
semua kaum Quraisy, selamatkan dirimu daripada api neraka! Hai sekalian Bani
Ka’ab, selamatkan dirimu daripada api neraka! Hai Fatimah Bte Muhammad!
Selamatkan dirimu daripada api neraka! Demi Allah, aku tidak memiliki sebarang
kuasa untuk membelamu daripada hukuman Allah, melainkan kamu mempunyai tali
persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan hubungan itu”.
Mendengar
perkataan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam, geram dan meledaklah hati Abu
Lahab. Lalu diambilnya batu, dan dilemparkannya kepada nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam. Lalu dengan api amarah yang menjulang, Abu Lahab berkata:
“Celaka
engkau pada hari ini! Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?”. Maka Allah
s.w.t menurunkan surah al-Masad, melaknat Abu Lahab dan isterinya. “Celakalah
kedua tangan Abu Lahab, binasalah ia!”.
Penentangan
Bermula….
Kaum
Musyrikin berkumpul, memikirkan bagaimana mahu menghasut orang ramai agar tidak
mendengar dakwah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam. Ada yang mencadangkan
agar nabi sallallahu ‘alaihi wassalam difitnah sebagai seorang bomoh, ada yang
mencadangkan difitnah sebagai seorang gila, ada yang mencadangkan agar difitnah
sebagai penyair, ada yang mencadangkan agar difitnah sebagai seorang ahli sihir.
Akhirnya mereka memilih untuk memfitnah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
sebagai seorang ahli sihir.
Fitnah
dimulakan, mereka duduk dipinggir-pinggir jalan. Mereka memberi amaran kepada
orang ramai agar berhati-hati dengan Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam
kerana beliau seorang ahli sihir. Abu
Lahab lah yang menjadi kepalanya, dia mengekori ke mana nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam pergi, lalu melemparkan fitnah kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam
ketika nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sedang menyampaikan Islam kepada
manusia. Mereka
melancarkan perang saraf. Mereka mengejek dan memfitnah nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam. Mereka menimbulkan syubhat dan keraguan ke atas apa yang dibawa nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam.
Setelah
semuanya tidak berhasil, mereka menawarkan pula tawaran ‘toleransi beragama’
kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Mereka berkata: “Kalau kamu
sanggup menerima tuhan-tuhan kami, maka kami akan menyembah Tuhan kamu”.
Kata
mereka lagi: “Wahai Muhammad, marilah, biar kami sembah apa yang engkau sembah,
dan engkau sembah apa yang kami sembah. Kami dan kamu sama-sama berkongsi dalam
urusan ini. Kalau apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami
sembah, itu bererti kami telah mengambil habuan kami daripadanya, dan kalau apa
yang kami sembah lebih baik daripada apa yang kamu sembah, bererti kamu telah
mendapat habuan kamu daripadanya”.
Allah
s.w.t pun menurunkan surah al-Kafirun. Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam menolak
tawaran diplomasi itu, tiada ruang tolak ansur antara tauhid dan syirik, iman
dan kufur.
Penyeksaan
Mental dan Fizikal Ke Atas Nabi
Nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam juga adalah besan kepada Abu Lahab. Anak perempuan
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum berkahwin
dengan anak lelaki Abu Lahab. Selepas dakwah bermula, Abu Lahab memaksa anak
lelaki menceraikan puteri-puteri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam.
Isteri
Abu Lahab, Ummu Jamil, jahatnya seperti suaminya. Sungguh mereka pasangan yang
secocok. Dia membawa duri dan meletakkannya di laluan yang sering dilalui
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Dia meletakkan duri di hadapan
pintu rumah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam di waktu malam.
Nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam dihina oleh jirannya-jirannya. Tiada seorang pun
jirannya menerima dakwah kecuali Hakam bin Abi al-‘As. Jiran-jiran yang lain
sangat memusuhi nabi sallallahu ‘alaihi wassalam kerana dakwah yang dibawa.
Mereka pernah mencampakkan perut kambing ke atas baginda sallallahu ‘alaihi
wassalam semasa baginda sallallahu ‘alaihi wassalam sedang mendirikan solat,
bahkan mereka pernah mencampakkan perut kambing dengan periuk-periuk sekali
ketika nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sedang mendirikan solat hinggakan nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam terpaksa membuat hadangan ketika solat untuk
mengelakkan gangguan mereka. Sehingga nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terpaksa
bersuara:
“Hai
Bani Abd Manaf, jiran jenis apakah kamu ini?”
Uqbah
bin Abi Mu’ayyat pula sangat keji tindakannya. Golongan musyriki Mekah saling
mencabar antara satu sama lain:
“Siapakah
yang berani membawa uri unta keluarga si polan dan meletakkannya di belakang
Muhammad ketika dia sedang sujud?”. Lalu bangkitlah Uqbah menyahut cabaran itu.
Diletaknya uri unta di belakang nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika baginda
sallallahu ‘alaihi wassalam sedang sujud.
Abdullah
bin Mas’ud radiallahu ‘anhu yang ada ketika itu hanya mampu memerhatikan, dan
tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantu nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.
Kata beliau radiallahu ‘anhu:
“Aku
memerhatikan apa yang dilakukan, tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa,
alangkah baiknya kalau aku ada kekuatan untuk menghalang”.
Ketika
si musyrikin ketawa gembira melihat nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dihina,
datanglah Fatimah radiallahu ‘anha membersihkan belakang ayahnya yang tercinta.
Nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam hanya membalas perbuatan mereka dengan doa kepada
Allah:
“Ya
Allah, ke atas Mu untuk menghukum orang Quraisy ini”.
Uqbah
juga pernah memijak leher nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam sedang sujud sehingga hamper tersembur kedua biji
matanya.
Abu
Jahal pernah berkata kepada konco-konco musyriknya:
“Adakah
Muhammad menyembamkan mukanya ke tanah (sujud) di hadapan kamu… Demi al-Lata
dan al-Uzza, kalau aku lihatnya, aku akan pijak tengkoknya dan aku sodokkan
mukanya ke tanah…”
Utaybah
bin Abu Lahab pernah menarik baju nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dan meludah
wajah nabi sallallahu ‘alaihi wassalam.
Abu
Jahal pernah cuba membunuh nabi sallallahu ‘alaihi wassalam dengan menggunakan
batu yang besar. Tindakan nekad beliau tanpa mempedulikan perang kabilah yang
mungkin berlaku, tetapi Allah s.w.t menyelamatkan nabi sallallahu ‘alaihi
wassalam.
Uqbah
pernah meletakkan kainnya pada leher nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sambil
mencekiknya dengan sekuat hati, kemudian Abu Bakar radiallahu ‘anhu datang
menyelamatkan nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sambil berkata:
“Apakah
kamu ingin membunuh seorang lelaki yang mengatakan Tuhanku hanya Allah?”
Nabi
sallallahu ‘alaihi wassalam pernah pergi ke Thaif, untuk menyeru masyarakat
Bani Thaqif menyembah Allah. Tetapi dakwah baginda sallallahu ‘alaihi wassalam
ditolak, bahkan dibalas dengan lemparan batu di sepanjang jalan yang dilakukan
oleh kanak-kanak, hamba dan kaum wanita. Baginda sallallahu ‘alaihi wassalam
tercedera, Zaid bin Harithah radiallahu ‘anhu cedera ketika melindungi baginda
sallallahu ‘alaihi wassalam.
Baginda
sallallahu ‘alaihi wassalam berdoa:
اللَّهُمَّ
إِلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي ، وَقِلَّةَ حِيلَتِي ،
وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ ، أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ ، أَنْتَ أَرْحَمُ
الرَّاحِمِينَ ، إِلَى مَنْ تَكِلُنِي ، إِلَى عَدُوٍّ يَتَجَهَّمُنِي أَوْ إِلَى
قَرِيبٍ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي ، إِنْ لَمْ تَكُنْ غَضْبَانَ عَلَيَّ ، فَلا
أُبَالِي ، غَيْرَ أَنَّ عَافِيَتَكَ أَوْسَعُ لِي ، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ
الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ ، وَصَلَحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا
وَالآخِرَةِ ، أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ ، أَوْ تُحِلَّ عَلَيَّ سَخَطَكَ ، لَكَ
الْعُقْبَى حَتَّى تَرْضَى ، وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلا بِكَ
Ya Allah,
sesungguhnya aku mengadu kepadaMu, betapa lemahnya kekuatanku, betapa sedikitnya helah ku/jalan keluar ku, betapa hinanya aku di mata manusia. Yang Maha
Pengasih, Engkau Maha Pengasi, kepada siapapun Engkau serahkan diriku ini, sama
ada kepada musuh yang akan mengancam diriku, atau kepada sahabat yang akan
menjaga urusanku? Selagi mana Engkau tidak Marah kepada ku. Aku tidak kisah
selagi mana kemaafanMu meliputi diriku. Aku berlindung dengan WajahMu, yang
menyinari kegelapan, yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat, daripada
turunnya murkaMu ke atas diriku, atau kebencianMu menimpaku. Hanya milikMu
pembalasan sehingga Engkau meredhai. Tiada usaha dan kekuatan kecuali denganMu.
[Al-Dua’ Li
At-Thabrani, Bab (باب : الدُّعَاءِ عِنْدَ الْكَرْبِ ، وَالشَّدَائِدِ)
Doa Ketika Dalam Kesusahan, hadis no : 959. Shaikh al-Albani menyatakan ia
dhaif dalam al-Silsilah ad-Dhaifah, no : 2933. Imam al-Haithami berkata: Pada
riwayat ini terdapat Ibn Ishak, beliau seorang mudallis yang thiqah. Perawi
yang lain kesemuanya thiqah, Lihat Majma’ az-Zawaid :9851]
Malaikat
Mahu Membalas Dendam
Jibril
berkata kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:
“Sesungguhnya
Allah telah mendengar kata-kata kaummu kepada mu serta tindakan mereka
kepadamu. Allah mengutuskan kepadamu malaikat bukit supaya engkau arahkan dia
apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka”.
Malaikat
bukit berkata kepada nabi sallallahu ‘alaihi wassalam:
“Hai
Muhammad, apa yang kamu mahu? Kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka
bukit al-Akhsyabayn (dua buah bukit di Mekah), nescaya akan aku lakukan!”
Jawab
nabi sallallahu ‘alaihi wassalam: “Malah aku mengharapkan agar Allah s.w.t
mengeluarkan daripada sulbi mereka keturunan orang-orang yang akan menyembah
Allah semata-mata dan tidak mensyirikkannya”.
----------------------
Mulia
sungguh akhlakmu ya Rasulullah. Engkau membalas tuba yang mereka sirami, dengan
susu yang manis lagi menyegarkan. Engkau membalas cercaan mereka dengan doa
yang melembutkan.
Maafkan
kami Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, kami sering melupakan
pengorbananmu, cinta kami kadang-kala mekar, dan kadang-kala kuncup entah ke
mana. Maafkan kami wahai Allah.
[sumber
rujukan: ar-Raheeq al-Makhtum oleh Shaikh Safiurrahman al-Mubarakfuri, edisi
terjemahan bertajuk: Sirah Nabawiah, terbitan YADIM]
No comments:
Post a Comment