(2) Mewajibkan lafaz
niat
Membaca
lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan
solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang
wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal
dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was,
maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau
“Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara
lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka
janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.
(3) Menetapkan waktu
imsak
Menetapkan
waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan
yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia
menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati”
adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas
masuknya waktu Subuh. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
Dan
makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang)
dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. (al-Baqarah 2:187)
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya
Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga
Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi
Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga
dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.”(17)
Dalam
ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan
minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud
waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.
(4) Menghukum makruh
jika mandi ketika puasa
Antara
hukum yang ditokok tambah ialah kononnya makruh untuk mandi pada petang hari
ketika berpuasa. Yang benar hukumnya adalah sunnah kerana Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyiram air ke kepalanya kerana haus atau
panas. Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu ‘anh berkata:
Aku
melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat),
baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa.
Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.(18)
Berkata
al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:(19)
Dalam
hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang
merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau
keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan
antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan
sekalipun.
(5) Qadha dua kali
apabila berbuka dalam puasa qadha
Termasuk
hukum yang ditokok tambah adalah, jika seseorang itu sedang mengqadha puasa
lalu dia membuka puasa tersebut sama ada kerana sengaja atau tidak, maka dia
perlu mengqadha sebanyak dua puasa, yang pertama puasanya yang asal manakala
yang kedua adalah puasa qadha yang dibukanya itu. Contoh, jika seorang muslimah
sedang berpuasa untuk menqadha puasa Ramadhannya yang lalu, kemudian pada siang
hari dia didatangi haid sehingga terpaksalah dia berbuka, maka kononnya dia
diwajibkan qadha dua kali, pertama adalah mengqadha puasa Ramadhan yang lalu,
kedua mengqadha puasa qadha yang dibukanya.
Yang
benar muslimah tersebut hanya perlu mengqadha sekali, iaitu puasa Ramadhan yang
lalu. Demikian juga, sesiapa yang membuka puasa qadhanya maka kewajipan dia
hanya mengqadha sekali, iaitu puasa asal yang perlu diqadhanya. Ini kerana
maksud “qadha” ialah melaksanakan suatu ibadah di luar waktunya dan kewajipan
mengqadha hanyalah ke atas ibadah yang sepatutnya dilaksanakan dalam waktunya
yang asal. Tidak ada qadha ke atas ibadah yang sedang dilakukan di luar
waktunya yang asal.
(6) Membayar fidyah
jika puasa qadha ditunda ke tahun seterusnya.
Sebahagian
pendapat menyatakan, jika seseorang itu memiliki sejumlah puasa Ramadhan yang
perlu diqadha, lalu dia tidak mengqadha dalam tahun tersebut sehingga
menundanya ke tahun hadapan, dia wajib membayar fidyah sebagai denda di atas
penundaan tersebut. Pembayaran fidyah ialah sekali makanan yang mengenyangkan
mewakili setiap hari bagi setiap tahun yang ditunda. Dalam hal ini terdapat
perbezaan pendapat sebagaimana jelas Syaikh Yusuf al-Qaradhawi:(20)
Adapun
jika penundaan puasa qadha terjadi tanpa keuzuran, maka ada keterangan daripada
sejumlah sahabat yang mengatakan bahawa dia wajib memberi makan orang miskin
(fidyah) setiap hari sebagai denda bagi penundaannya. Pendapat ini dipegang
oleh Malik, al-Tsauri, al-Syafi‘e, Ahmad dan lain-lain.
Ada
pendapat lain yang menyebut bahawa hal itu (penundaan puasa qadha) tidak
menuntut apa pun selain qadha. Ini adalah pendapat al-Nakha‘e, Abu Hanifah dan
sahabat-sahabatnya serta dikuatkan oleh pengarang kitab al-Raudhah al-Nadiyah.
Ini kerana tidak ada dalil apa jua tentang hal itu (penundaan puasa qadha) yang
dapat disandarkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika ada
sekali pun, paling kuat ia adalah kata-kata sekelompok sahabat. Tentu ini bukan
hujah bagi seseorang kerana kita tidak boleh beribadah kepada Allah dengan
hujah seseorang. Oleh itu kerana itu, hukum bagi hal ini (penundaan puasa
qadha) adalah neutral dan dikembalikan kepada dasarnya (iaitu qadha sahaja
tanpa fidyah). Tidak boleh menggunakan nukilan daripada kata-kata sahabat
(dalam bab hukum-hakam) melainkan hadis (Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam) yang sahih.
Saya
(Syaikh al-Qaradhawi) melihat bahawa mengambil dalil daripada kalangan sahabat
hanyalah sekadar hal-hal yang sunat, bukan wajib. Adapun yang wajib, kita
memerlukan nas dalil daripada yang maksum (yakni Rasulullah) dan ini tidak kita
perolehi.
Oleh
itu dalam persoalan ini, yang lebih mendekati kebenaran ialah tidak perlu
membayar fidyah. Seseorang yang menunda puasa qadhanya ke tahun seterusnya
hanya wajib mengqadha, tidak lebih dari itu.
(7) Puasa dua dalam
satu
Dalam
sebahagian kitab fiqh disebut bahawa dibolehkan melaksanakan dua atau lebih
puasa di dalam satu hari. Berdasarkan pendapat ini, merupakan satu kelaziman
bagi sebahagian orang untuk melaksanakan kedua-dua puasa qadha dan puasa sunat
Syawal dalam satu hari. Kebolehan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam
satu hari adalah pendapat semata-mata dan sehingga kini tidak ditemui dalil
yang membolehkannya daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah yang sahih.
Di
sini perlu digariskan bahawa manhaj kita dalam beribadah ialah berhenti
sehingga diperolehi dalil yang sahih lagi muktamad (qath‘e) yang
mensyari‘atkannya. Kita sebagai hamba tidak tahu apa, bila dan bagaimana bentuk
ibadah yang akan diterima dan diredhai oleh tuhan yang kita sembah, iaitu Allah
‘Azza wa Jalla. Oleh itu kita hanya beribadah sekadar apa yang disyari‘atkan
tanpa menambah atau mengubahsuainya. Pendapat manusia, sekalipun kita
menghormati dan menyanjunginya, tidak boleh dijadikan hujah untuk menambah atau
mengubahsuai sesuatu ibadah.
Justeru
yang benar tidak ada amalan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu
hari. Setiap puasa hendaklah dilaksanakan dalam harinya yang tertentu. Prof.
Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah menjelaskan:(21)
Kemudian
hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu
yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak
bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada
hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Maksud Surah al-Baiyinah 98:05).
Ikhlas
yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang
disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan
Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan
Muslim daripada A’isyah radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada
atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.
Maka
sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah
melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu,
amalan sebegini tidak diterima.
Tidak
dinafikan bahawa amalan puasa “dua dalam satu” rancak disebut-sebut dalam
akhbar, majalah, televisyen, radio, ceramah, kuliah, khutbah dan sebagainya.
Tidak kurang juga, orang-orang yang menyebutnya adalah mereka yang masyhur
dalam menyampaikan cerita-cerita agama. Akan tetapi jika dicermati analisa
secara mendalam, akan didapati bahawa apa yang mereka sampaikan adalah pendapat
semata-mata tanpa ada dalil yang sahih lagi muktamad yang mendukunginya.
Di
sini penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian bahawa kebenaran agama
tidak dinilai oleh kemasyhuran seseorang tetapi berdasarkan dalil dan hujah
yang disampaikannya. Jika dalam pelbagai urusan duniawi kita semua menekankan
nilai fakta dan penelitian, maka hendaklah penekanan yang sama kita praktikkan
dalam menerima sesuatu ajaran agama.
Demikian
beberapa perkara yang ditinggalkan dan yang ditokok tambah berkenaan amalan dan
hukum puasa yang sempat dibicarakan dalam risalah ini. Perkara-perkara yang
dibicarakan merupakan apa yang lazim ditanya dan dibincang bersama penulis
dalam kuliah-kuliah dan soal-jawab e-mel. Pasti sahaja perkara-perkara ini
tidak memiliki batas maksimumnya kerana selagi mana manusia ingin menjadikan
agama sebagai permainan akalnya, selagi itulah akan muncul amalan dan hukum
yang berjauhan daripada keaslian al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Nasihat
penulis kepada para pembaca, jadikanlah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih
sebagai tolok ukuran setiap ajaran yang diterima dan diamalkan. Jadikanlah ayat
59 surah al-Nisa’ yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai manhaj utama
dalam beragama.
Nota
kaki:
(17)
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 617 (Kitab
Azan).
(18)
Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam
Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2365 (Kitab puasa, Bab orang berpuasa yang
disiram ke atasnya air…).
(19)
Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud (Dar al-Fikr, Beirut 1995), jld. 6, ms. 395.
(20)
Fiqh al-Siyam, ms. 98.
(21)
Pedoman Puasa (Thinker’s Library, Kuala Lumpur 1996), ms. 136-137
Sumber:
“Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa” susunan Kapten Hafiz Firdaus bin
Abdullah. Download di sini >> http://uploads.bizhat.com/file/317213
http://soaljawab.wordpress.com/2008/09/02/tokok-tambah-dalam-puasa-2/#more-1058
No comments:
Post a Comment