Ustazah Ili Dalila
Sebelum ini saya selalu tertanya-tanya bagaimana salafus soleh mengajar anak-anak mereka membaca al-Quran.
Alhamdulillah, hari ini saya menemui sedikit gambaran mengenainya di
akhir kitab tafsir Ibn Kathir iaitu bab yang disusun khas oleh beliau
rahimahullah mengenai Fadha-il al-Quran. Ia disebutkan di bawah subtopic
“Ta’allum al-Sibhyaan al-Quran” (Kanak-kanak Mempelajari al-Quran).
Dari Sa’id Ibn Jubayr, Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata : Aku
berumur 10 tahun ketika Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam wafat. Dan
ketika itu, aku telah menghafaz al-Muhkam (al-Mufassal : iaitu dari
surah al-Hujurat hingga al-Naas)
Ibn Kathir rahimahullah menyebut bahawa ini menunjukkan bolehnya
mengajar kanak-kanak al-Quran; bahkan ianya dianjurkan atau wajib.
Kerana kanak-kanak itu jika dia telah mempelajari al-Quran kemudian
mencapai umur baligh, maka dia akan tahu apa yang hendak dibaca di dalam solat. Dan
hafazannya pada waktu kecil lebih utama, lebih kuat ingatannya dan
lebih ‘lekat’ daripada hafazannya setelah dewasa.
Sebahagian salaf menganjurkan supaya anak kecil dibiarkan seketika di
awal umurnya untuk bermain, dan kemudian selepas itu dikumpulkan
kesungguhannya untuk belajar al-Quran. Perihal tidak mewajibkan
(memestikan) dia belajar al-Quran ini supaya dia tidak jemu dengan
al-Quran dan langsung meninggalkannya untuk bermain. Sebahagian mereka
pula tidak suka mengajar al-Quran kepada anak kecil sedang dia tidak
memahaminya. Tetapi dia dibiarkan dahulu sehinggalah dia dapat berfikir
dan membezakan ilmu sedikit demi sedikit bersesuaian dengan
kesungguhannya, keterujaannya, hafazannya dan kekuatan hafalannya.
Manakala Umar al-Khattab pula suka mengajar anak kecil dengan membacakan
kepada mereka 5 ayat 5 ayat.
Pelajaran yang saya dapati dari teks ini :
1- Antara tujuan/niat tertinggi ibubapa mengajarkan al-Quran
kepada anak mereka adalah supaya mereka dapat membawa al-Quran ke dalam
solat. Para ulama’ menyebutkan bahawa utamanya perihal berdiri dalam
solat itu adalah kerana al-Quran (zikir paling utama dan mulia) yang
dibaca padanya. Benarlah kata Ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu :
Sesungguhnya kami ini susah menghafaznya tetapi dimudahkan untuk beramal
dengannya. Dan kaum selepas kami mudah untuk menghafaznya tetapi susah
untuk beramal dengannya. Membaca al-Quran dalam solat adalah salah satu
cara beramal dengan al-Quran.
2- Anak kecil jangan dipaksa untuk membaca al-Quran; hendaklah
diraikan juga tabi’i mereka yang suka bermain. Ini supaya mereka tidak
memandang al-Quran sebagai sesuatu yang tidak seronok.
3- Mengajar al-Quran kepada anak bukanlah untuk membaca dan
menghafaznya sahaja. Tetapi ibubapa hendalah mengajar isi kandungan
al-Quran (perintah Allah, larangan Allah, peringatan darinya,
kisah-kisah darinya dsb) dan memastikan anak beramal dengannya.
Sebaiknya anak mula diajar apabila mereka sudah boleh memahami isi
kandungan al-Quran. Ini bersesuaian dengan objektif al-Quran diturunkan
seperti yang disebut dalam surah Shad ayat 29 yang maksudnya:
"Kitab
(al-Quran ini) Kami turunkan Ia kepadamu adalah (Kitab) yang diberkati
dan penuh kebaikan; untuk mereka teliti ayat-ayatnya dan untuk
orang-orang yang berakal itu mengambil pengajaran".
Al-Hasan al-Bashri
berkata: Bukanlah meneliti ayat al-Quran dengan menghafaz
huruf-hurufnya dan mengabaikan larangannya; sedang salah seorang mereka
berkata: Aku telah menghafal keseluruhan al-Quran; sedang langsung
tidak terlihat padanya al-Quran baik pada akhlak mahupun amalan.
4- Ketika mengajar anak al-Quran hendaklah mengambil kira
kesungguhan, mood dan kebolehan anak kerana setiap anak adalah berbeza
dan ibubapa hendaklah raikan.
5- Hendaklah mengajar anak kecil sedikit demi sedikit dan bukannya melihat kuantiti.
Dan pelajaran paling utama yang saya dapat dari bulan Ramadhan, dalam
kesungguhan kita hendak mengajar al-Quran kepada anak, hendaklah kita
sebagai ibubapa mulakan dengan diri kita dahulu. Perbaiki bacaan kita,
perbanyakkan bacaan kita, perbanyakkan hafazan kita, tingkatkan
pemahaman kita terhadap al-Quran, hadirkan dulu rasa takut kita kepada
perkataan Allah, bawa al-Quran dalam solat baik yang fardhu mahupun
sunat, beramal bersungguh-sungguh dengan isi kandungannya. Semoga dengan
itu Allah mudahkan tugas kita membacakan dan mengajarkan ayat-ayat
al-Quran kepada anak-anak kita.
Sumber: http://ilidalila.wordpress.com/2013/09/12/bagaimana-salafus-soleh-mengajar-al-quran-kepada-anak-anak/
No comments:
Post a Comment