Bro. Suhaib Webb
Soalan:
Perhubungan antara lelaki dan perempuan merupakan satu persoalan yang biasa timbul di kampus. Apakah garis panduan dan batasan dalam interaksi antara bukan mahram di kampus?
Jawapan:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang
Persoalan berkaitan interaksi antara dua gender di kampus merupakan salah satu isu yang penting. Malangnya, dalam kebanyakan kes, ia dikendalikan dalam dua bentuk yang ekstrem. Saya teringat satu ketika saya melawat MSA, lalu saya temui bahawa MSA telah ditutup kerana pada mesyuarat yang pertama, seorang lelaki telah bangun dan menuding jari kepada muslimah sambil berkata: “Kenapa mereka di sini? Kamu (muslimah) tak dibenarkan berada di sini!”. Dalam masa yang sama, saya juga pernah mendengar sebahagian ahli MSA mengadakan mesyuarat di Starbuck! Sambil menikmati keenakan versi terbaru frappuccino, Fatima dan Zaid duduk bersama tanpa rasa hormat kepada apa yang tertulis dalam wahyu dan prinsip yang digariskan oleh Islam. Insya-Allah, menjadi harapan kami menjawab soalan ini melalui sudut pandang aktivis Islam dan dakwah dengan menggunakan beberapa ayat al-Quran yang penting berkaitan isu ini.
Tanggungjawab Menjadi Aktivis Islam
Allah Taala berfirman:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [at-Taubah 9:71]
Imam at-Tabari Rahimahullah menerangkan tentang ayat ini: Mereka (orang-orang beriman) mengajak manusia beriman kepada Allah dan RasulNya Sallallahu ‘alaihi wasallam, dan mengajak manusia kepada objektif perutusan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. [Tafsir Al-Tabari 9:71]
Para ilmuan Islam berkata berdasarkan perkataan yang digunakan dalam ayat ini. Ia jelas menunjukkan bahawa tangunggjawab dakwah dan kerja Islami adalah milik lelaki mahupun perempuan.
Skop Perhubungan Antara Dua Gender
Dalam surah al-Qasas kita akan menemui contoh menarik berkaitan hubungan antara dua jantina. Ia dapat dilihat dalam kisah Nabi Musa ‘Alaihissalam.
Allah berfirman:
[22] Dan setelah dia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah dia dengan berkata: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku
[23] Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”.
[24] Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan
[25] Kemudian salah seorang daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: “Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat daripada kaum yang zalim itu
Dengan membaca sepintas lalu ayat-ayat di atas, kita dapat mengambil beberapa pelajaran yang berkaitan dengan kerja-kerja Islami, personality seorang pendakwah dan pemerintah, dan adab antara dua jantina.
1. Kepentingan doa- Jika kita melihat cerita di atas sebagai satu struktur binaan yang besar, kita dapat melihat doa merupakan asas dan bumbung untuk binaan tersebut. Oleh sebab itu, nabi Musa ‘Alaihissalam memulakan tindakannya dengan doa dan menyempurnakan tugasnya dengan doa jua. Disebabkan hal tersebut, Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidak ada apa yang lebih disukai Allah melainkan doa [At-Tirmizi, Ibn Hibban. Al-Hakim mensahihkannya]
2. Sifat penyayang dan belas kasihan Nabi- Nabi Musa ‘Alaihissalam merasa kasihan kepada dua wanita tersebut lalu pergi membantu mereka. Adalah penting untuk seorang aktivis Islam mempunyai sifat penyayang dan mengambil berat kepada manusia sekelilingnya
3. Kepentingan mentaati dan berkhidmat kepada ibu bapa- Anak perempuan Nabi Syuaib bukan sahaja berkhidmat kepadanya apabila usianya tua. Bahkan mereka mentaati Nabi Syu’aib dengan menjaga maruah dan tingkah laku mereka ketika Nabi Syu’aib tidak bersama mereka. Perkara yang sama boleh disebutkan kepada mahasiswa/wi yang berada di kampus. Ramai daripada kita yang duduk berjauhan dari ibu bapa di kampus. Sangat penting untuk kita menghormati mereka ketika ketiadaan mereka dengan kita menjadi anak yang baik. Sangat menyedihkan melihat ramai mahasiswa/wi mengambil peluang untuk tinggal di kampus semata-mata untuk tidak lagi mentaati ibu bapa mereka. Akan tetapi, seorang hamba Allah yang baik akan tetap mentaati ibu bapanya walau ketika ketiadaan mereka. Sudah pasti ketaatan ini hanya dalam perkara-perkara yang tidak melanggar syariat.
4. Diketahui dengan jelas juga bahawa anak-anak nabi Syu’aib merupakan bukan mahram kepada Nabi Musa. Bahkan, kita tahu bahawa akhirnya Nabi Musa menikahi salah seorang daripada mereka. Ayat ini membuktikan bahawa interaksi antara bukan mahram adalah dibenarkan selagi mana mereka mematuhi adab-adab yang akan diterangkan selepas in, Insya-Allah.
5. Perhubungan antara dua gender merupakan pengecualian, dan ia bukanlah merupakan hukum asalnya. Ini bermaksud interaksi antara dua jantina hanya berlaku apabila ia benar-benar diperlukan. Buktinya adalah pernyataan tersebut: Kami tidak dapat memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”. Ini menunjukkan Nabi Musa melihat mereka dalam kesusahan, lalu bercakap dengan mereka dalam usaha untuk mengurangkan bebanan mereka, dan jawapan daripada anak perempuan Nabi Syu’aib juga berasaskan keperluan mereka untuk mendapatkan air. Oleh kerana itu, boleh dikatakan kerja-kerja dakwah termasuk dalam perkara keperluan, akan tetapi ia mestilah dilakukan dengan mematuhi adab-adab berikut.
a. Hendaklah kita ingat bahawa untuk menangani sesuatu hal ia akan melibatkan anggota badan. Tetapi komponen yang paling penting ialah hati. Oleh sebab itu, sebelum apa-apa majlis, periksalah hati kalian dan pastikan ia bersama dengn Allah Yang Maha Tinggi, penuh dengan perasaan cinta kepadaNya, dan penuh dengan perasaan tunduk kepada sunnah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Doa yang agung yang boleh dibaca sebelum apa-apa majlis ialah doa berikut yang diajarkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. “Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati. Tetapkanlah hati ku di atas agamaMu.”
b. Selepas hati seseorang telah diserahkan kepada Allah, logiknya anggota tubuh yang lain akan mengikuti. Ini akan member natijah:
- Menundukkan pandangan. Ini kerana setiap hal pasti ada pintu masuknya, dan pintu masuk ke dalam hati adalah pandangan.
- Menjauhi perkataan atau tindakan yang boleh membawa kepada terlalu mesra. Saya pernah diberitahu oleh salah seorang sheikh saya bahawa ketawa dan membuat lawak dengan bukan mahram sepatutnya dijauhi. Untuk alas an tersebut, Allah menerangkan tentang keadaan anak perempuan Syu’aib ketika mereka datang kepada Musa, “daripada perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu”.
- Menjauhi daripada berdua-duaan dengan bukan mahram kerana syaitan akan menjadi yang ketiga. Hendaklah berusaha untuk bertemu di dalam kumpulan kerana pertemuan rahsia antara dua jantina adalah dilarang. Sebagai tambahan, ketika pertemuan secara berkumpulan, hendaklah wujud jarak tidak rapat antara wanita dan lelaki.
- Pastikan kita mematuhi peraturan berpakaian Islam. Tanyalah diri kalian satu soalan yang penting: “Aku membuat dakwah mengajak manusia kepada diriku, atau kepada Allah dan Rasul.
- Tidak ada solusi yang lebih baik daripada bertanya. Oleh itu, penting untuk bertanya isu-isu berkaitan hidup di kampus kepada ilmuan yang ada di dalam kampus.
Saya memohon kepada Allah untuk merahmati penanya soalan, menetapkan kakinya di atas ketaatan dan menjadikannya seorang pendakwah yang hebat. Saya ingin jua menzahirkan penghargaan kepada dua sheikh saya, Abu Mustafa dari Senegal, dan Shaikh Abdul Jalil dari San-Dieogo. Jawapan yang saya tuliskan di atas adalah berdasarkan jawapan yang saya terima daripada mereka ketika saya berada di kampus. Semoga Allah merahmati mereka, dan terus menjadikan mereka sebagai sumber manfaat kepada generasi muda di barat.
No comments:
Post a Comment