Tuesday, October 15, 2013

Apabila Dipaksa Melacur


Allah berfirman:
 ﴿ وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّى يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَالَّذِينَ يَبْتَغُونَ الْكِتَابَ مِمَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ فَكَاتِبُوهُمْ إِنْ عَلِمْتُمْ فِيهِمْ خَيْرًا وَآتُوهُمْ مِنْ مَالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ وَلَا تُكْرِهُوا فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَاءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا لِتَبْتَغُوا عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَنْ يُكْرِهْهُنَّ فَإِنَّ اللَّهَ مِنْ بَعْدِ إِكْرَاهِهِنَّ غَفُورٌ رَحِيمٌ (33 (

Dan orang-orang yang tidak mampu berkahwin hendaklah menjaga kesucian [diri]nya, sehingga Allah mengkayakan mereka dengan kurniaanNya. Dan hamba-hamba yang kamu miliki yang mahukan perjanjian (agar mereka dibebaskan), hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mahukan kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang [kepada mereka] sesudah mereka dipaksa [itu] . (33) [an-Nur 24 : 33]

Galakan Membebaskan Hamba


Allah berfirman yang bermaksud: Dan hamba-hamba yang kamu miliki yang mahukan perjanjian (agar mereka dibebaskan), hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang dikurniakan-Nya kepadamu…

Al-Imam Ibn Kathir r.h.m berkata:

Ini merupakan arahan Allah kepada seseorang yang memiliki hamba, apabila hamba-hamba mereka mahu membuat perjanjian (agar mereka dibebaskan), hendaklah tuan-tuan tadi melaksanakan perjanjian itu, dengan syarat hamba itu mempunyai skil bekerja dan sumber pendapatan agar dia mampu membayar kepada tuannya dengan apa yang telah disyaratkan dalam perjanjian pembebasannya itu. [1]

Ulama berbeza pendapat sama ayat ini menunjukkan kewajipan membebaskan hamba apabila diminta atau ia sekadar galakan sahaja.

Sebahagian ulama berpendapat ia hanyalah sekadar sunat sahaja, manakala sebahagian yang lain berpendapat ia wajib. Dalam Tafsir al-Quran al-Azhim disebutkan:

Ramai ulama’ berpendapat arahan membebaskan hamba menunjukkan hukumnya adalah sunat, dan bukan satu arahan berbentuk kewajipan.  Tuan kepada hamba mempunyai pilihan apabila hambanya mahu diadakan perjanjian untuk dibebaskan. Jika dia mahu, dia boleh menandatangi perjanjian itu, dan dia juga boleh memilih untuk tidak menandatangani perjanjian itu. [2]

Al-Imam Ibn Batthal menyebutkan dalam Syarah Sahih al-Bukhari nya:

Imam Malik, ulama’ Kufah, Imam al-Syafie, berpendapat bahawa melakukan perjanjian untuk membebaskan hamba tidak wajib ke atas tuan hamba itu. Akan tetapi ia sunat dilakukan apabila diminta oleh hamba tersebut.

Diriwayatkan daripada Atho dan Masruq bahawa melakukan perjanjian untuk pembebasan adalah wajib. Ini merupakan pendapat ulama zahiri, dan mereka mendakwa ini adalah mazhab Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu. Ini kerana ‘Umar pernah memukul Anas bin Malik, kerana apabila hambanya, iaitu Sirin meminta untuk dibebaskan, Anas enggan membebaskannya. Lalu Umar membaca: …Hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka [al-Nur : 33][3]

أخبرنا عبد الرزاق قال أخبرنا بن جريج قال قلت لعطاء واجب علي إذا علمت له مالا أن أكاتبه قال ما اراه إلا واجبا وقاله عمرو بن دينار قلت لعطاء أتأثره عن أحد قال لا
Al-Imam Abdul Razak berkata: Juraih berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Atho’: Adakah aku wajib menulis perjanjian membebaskan hambaku apabila aku tahu dia mempunyai harta? Atho’ menjawab: Aku tidak melihat ada hukum lain melainkan wajib. Amru bin Dinar bertanya kepada Atho’: Adakah engkau meriwayatkan hal ini daripada sesiapa? Dia menjawab tidak. [Musannaf Ibn Abdul Razak, no : 15576]

Larangan Menjadikan Hamba Pelacur

Allah berfirman:  Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mahukan kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang [kepada mereka] sesudah mereka dipaksa [itu] . (33) [an-Nur 24 : 33]

Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah berkata dalam tafsirnya:

Apabila orang di zaman jahiliah mempunyai hamba perempuan, dia akan melacurkan perempuan itu, dan dia akan mengambil wang hasil pelacuran itu. Apabila munculnya Islam, Allah melarang umat Islam daripada perbuatan tersebut.[4]

Asbab an-Nuzul Ayat
Ramai ulama tafsir daripada generasi salaf dan khalaf berkata, ayat ini diturunkan berkaitan Abdullah bin Ubai bin Salul, kepala munafiq, yang melacurkan hamba perempuannya.

Imam Muslim merekodkan:

عَنْ جَابِرٍ، أَنَّ جَارِيَةً، لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُبَىٍّ ابْنِ سَلُولَ يُقَالُ لَهَا مُسَيْكَةُ وَأُخْرَى يُقَالُ لَهَا أُمَيْمَةُ فَكَانَ يُكْرِهُهُمَا عَلَى الزِّنَى فَشَكَتَا ذَلِكَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَأَنْزَلَ اللَّهُ ‏{‏ وَلاَ تُكْرِهُوا فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَاءِ‏}‏ إِلَى قَوْلِهِ ‏{‏ غَفُورٌ رَحِيمٌ‏}‏
Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Abdullah bin Ubai bin Salul mempunyai dua hamba perempuan yang bermana Musaikah, dan seorang lagi Umaimah. Abdullah bin Ubai memaksa mereka berdua untuk berzina. Lalu mereka berdua mengadu kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Allah menurunkan ayat (di atas).
[Sahih Muslim, Kitab at-Tafsir, Bab (باب فِي قَوْلِهِ تَعَالَى ‏{‏وَلاَ تُكْرِهُوا فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَاءِ), hadis no: 3029]

Allah Yang Maha Penyayang

Allah menamatkan ayat ini dengan berkata: Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang [kepada mereka] sesudah mereka dipaksa [itu]

Allah tidak menghukum mereka yang dipaksa melacurkan diri tanpa kerelaan diri mereka. Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu berkata:  Dosa perbuatan itu adalah ke atas orang yang memaksa mereka (untuk melacurkan diri).[5]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏ "‏ إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا تُوَسْوِسُ بِهِ صُدُورُهَا ‏.‏ مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَتَكَلَّمْ بِهِ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ ‏"‏
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah tidak mengambil kira ke atas umat ku was-was yang ada dalam dada mereka, selagi mana mereka tidak melakukannya atau tidak menuturkannya. Begitu juga mereka yang dipaksa melakukannya.
[Sunan Ibn Majah, Kitab at-Thalaq, hadis no : 2044, Shaikh al-Albani mensahihkannya]




[1] هذا أمر من الله تعالى للسادة إذا طلب منهم عبيدهم الكتابة أن يكاتبوا (9) ، بشرط أن يكون للعبد حيلة وكسب يؤدي إلى سيِّده المال الذي شارطه على أدائه.
[2] وقد ذهب كثير من العلماء إلى أن هذا الأمر أمرُ إرشاد واستحباب، لا أمر تحتم وإيجاب، بل السيد مخير، إذا طلب منه عبده الكتابة إن شاء كاتبه، وإن شاء لم يكاتبه. وقال الثوري، عن جابر، عن الشعبي: إن شاء كاتبه وإن شاء لم يكاتبه.

[3] فذهب مالك ، والكوفيون ، والشافعى ، إلى أن الكتابة ليست بواجبة على السيد ، ولكنها مستحبة إذا سأله العبد ، وروى عن عطاء ومسروق أن الكتابة واجبة ، وهو قول أهل الظاهر ، وقالوا : هو مذهب عمر بن الخطاب ؛ لأنه ضرب أنسًا حين سأله مولاه سيرين الكتابة ، فأبى أن يكاتبه ، وقرأ عمر : ( فكاتبوهم إن علمتم فيهم خيرًا ) [ النور : 33 ]

[4] كان أهل الجاهلية إذا كان لأحدهم أمة، أرسلها تزني، وجعل عليها ضريبة يأخذها منها كلّ وقت. فلما جاء الإسلام، نهى الله المسلمين (6) عن ذلك.

[5] وقال ابن أبي حاتم: حدثنا أبو زُرْعَة، حدثنا يحيى بن عبد الله، حدثني ابن لَهِيعَة، حدثني عطاء، عن سعيد بن جُبَيْر قال: في قراءة عبد الله بن مسعود: "فَإِنَّ اللَّهَ مِنْ بَعْدِ إِكْرَاهِهِنَّ لَهُنَّ غَفُورٌ (5) رَّحِيمٌ" وإثمهن على من أكرههن.

No comments: